Terengganu FC selangkah ke Piala AFC, tugas getir buat Sabah FC dan Negeri Sembilan FC

1,284

Berdasarkan kedudukan semasa, persaingan sengit dilihat bakal terjadi melibatkan tiga pasukan yang kini berada di tangga kedua, ketiga dan keempat.

Slot layak ke Piala AFC musim depan diberikan kepada pasukan yang berada di tangga kedua dan ketiga liga selepas JDT berjaya menjuarai saingan Piala FA musim ini.


Ketiga-tiga pasukan ini hanya dipisahkan dengan satu mata dan berpeluang untuk mengubah kedudukan tersebut pada aksi terakhir liga.

Buat masa ini, Terengganu FC yang berada di tangga ketiga Liga Super dengan 41 mata dilihat berpeluang cerah untuk mendapatkan slot layak ke Piala AFC musim depan.

Ini kerana, mereka dijadual bertemu dengan pasukan Kedah Darul Aman FC pada perlawanan terakhir liga pada 15 Oktober ini.

Terengganu yang berjaya mendapat lapan kemenangan berturut-turut di saingan Liga Super dilihat tidak akan berhadapan dengan masalah pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman itu.

Lebih-lebih lagi, lawan mereka telah menghadapi empat kekalahan berturut-turut serta gagal mempamerkan aksi yang baik.

Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain perlu menggunakan peluang ini untuk mencatatkan kemenangan bagi merealisasikan impian mereka ke Piala AFC musim depan.

Sebuah lagi pasukan pilihan adalah Sabah FC berdasarkan aksi mereka pada beberapa perlawanan terakhir ini.

Terkini mereka berjaya mencatatkan kemenangan pada penghujung perlawanan ke atas pasukan Sri Pahang FC untuk kekal di tangga kedua.

Namun, ujian getir buat skuad Sang Badak selepas mereka dijadual bertemu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi terakhir liga.

Sabah tewas pada perlawanan pertama menentang JDT di Stadium Likas dengan jaringan 2-1 pada aksi yang berlangsung 15 Julai lalu.

Ini akan membahayakan kedudukan pasukan tatkala mereka kini hanya dipisahkan oleh satu mata sahaja dengan pencabar terdekat seperti Terengganu dan Negeri Sembilan.

Sekiranya Sabah tewas pada perlawanan tersebut, mereka sudah semestinya berharap agar pasukan Sri Pahang dapat mengatasi Negeri Sembilan untuk meletakkan mereka sekurang-kurangnya di tangga ketiga.

Walau bagaimanapun, pasukan Negeri Sembilan sudah semestinya tidak akan mengangkat bendera putih terlalu awal kerana mereka juga memiliki peluang yang cerah untuk layak ke Piala AFC.

Musim ini, pasukan kendalian K Devan tersebut berjaya mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan meskipun baru sahaja kembali ke saingan Liga Super.

Mereka berjaya mencatatkan tiga kemenangan pada lima perlawanan terakhir dan berdasarkan rekod awal musim, Negeri Sembilan mudah menewaskan pasukan Sri Pahang 3-0 pada perlawanan pusingan pertama.

Nampaknya, saingan liga musim ini cukup menarik dengan penentuan tempat kedua dan ketiga perlu ditentukan pada perlawanan terakhir liga.

Hal ini menunjukkan bahawa Liga Super semakin kompetitif dan kesemua pasukan komited dalam mempertingkatkan kualiti pemain.

Harapnya perkara ini akan terus dikekalkan buat jangka masa yang panjang bagi memeriahkan lagi saingan liga di masa akan datang.