Ngah Wanja tiru gaya CR7 raikan jaringan, perlu ikut sama dari segi ketajaman di hadapan gawang

515

Penyerang Kedah Darul Aman FC, Ronald Ngah Wanja dilihat telah meniru gaya selebrasi bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sewaktu menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim FC semalam (12 Oktober).

Meskipun berjaya mendahului perlawanan pada penghujung babak pertama, jaringan tersebut masih gagal membantu untuk memastikan kemenangan kepada pasukan Kedah.


Untuk rekod, Wanja berjaya menjaringkan gol pada kedua-dua aksi menentang pasukan Harimau Selatan di dalam saingan liga musim ini.

Sebagai seorang penyerang, Wanja berjaya pamerkan aksi cukup memberangsangkan musim ini selepas mencatatkan 13 gol daripada 21 penampilan Liga Super.

Namun, beliau perlu terus mempertajamkan aksinya di bahagian hadapan gawang lawan bagi membantu meningkatkan lagi kualiti barisan serangan skuad Sang Kenari.

Beliau kini berada di tangga keempat senarai penjaring dibezakan 14 gol dengan penyerang utama JDT, Begrson da Silva yang kini memperoleh 27 gol selaku pendahulu carta.

Mungkin agak terlambat untuk saingan Liga Super, namun ketajaman Wanja akan terus ditagih oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin bagi mengharungi aksi Piala Malaysia musim ini.

Selepas kepulangan Syafiq Ahmad ke JDT, Kedah dilihat bergelut dalam mencari seorang pemain barisan hadapan yang mampu menjaringkan gol selain Wanja sebelum kehadiran pemain import baru seperti Mahmoud Al Mardi.

Wanja yang dilihat mempunyai kelebihan dari segi larian serta fizikalnya yang besar perlu menggunakan faktor ini selaku senjata utamanya.

Pertahanan lawan sering berhadapan dengan kesukaran dalam menghalang kemaraan beliau namun penyudah di hadapan gawang yang sering menjadi punca utama kegagalannya menemui jaringan.

Baki perlawanan terakhir menentang Terengganu FC, peminat dan barisan kejurulatihan semestinya mengharapkan persembahan yang baik daripada Wanja bagi menghalang skuad Sang Penyu meraih slot ke Piala AFC musim depan.

Dalam pada itu, berbalik kepada gaya selebrasi Cristiano Ronaldo, beliau telah melakukan aksi tersebut sewaktu mencatatkan jaringan ke-700 peribadinya pada perlawanan menentang Everton baru-baru ini.

Walaupun sering dikritik musim ini ekoran daripada prestasi yang kurang memberangsangkan, pemain berusia 37 tahun tersebut tetap memiliki pengaruh yang cukup besar di dalam sukan bola sepak dunia.

Sepanjang kariernya, beliau berjaya mengecapi pelbagai kejayaan termasuk memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali.

Beliau juga pernah membawa pasukan negaranya merangkul kejuaraan di pentas Eropah pada tahun 2016 yang lalu sebelum menjuarai saingan UEFA Nations League bagi musim 2018/2019.