Sering tampilkan aksi lima bintang bersama PJ City FC, Mahali Jasuli masih relevan untuk Harimau Malaya?

2,100

Pada perlawanan Liga Super antara PJ City FC dan Penang FC, kehadiran staf kejurulatihan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon menarik perhatian orang ramai.

Dengan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA bakal tiba pada November ini, ditambah dengan kejohanan Piala AFF nanti, pengendali dari Korea Selatan itu dilihat sudah mula meninjau beberapa pemain.


Pada perlawanan tersebut, seramai empat pemain yang pernah dipanggil oleh Pan-gon dalam skuad kebangsaan sebelum ini beraksi iaitu Darren Lok, Kogileswaran Raj, Kalamullah Al-Hafiz dan juga Ruventhiran Vengadesan.

Namun yang paling mencuri tumpuan adalah persembahan bertenaga dan lincah daripada pemain sayap, Mahali Jasuli yang turut menjaringkan gol serta satu bantuan gol untuk PJ City pada perlawanan itu.

Beliau boleh dikatakan sebagai salah seorang pemain terbaik PJ City pada musim ini dan juga pemain paling versatil yang dimiliki oleh ketua jurulatih, P Maniam.

Walaupun dikenali sebagai pertahanan kanan ketika zaman kegemilangannya, Maniam lebih gemar menggunakan Mahali sebagai pemain sayap.

Malah beliau juga pernah beberapa kali meletakkan Mahali di bahagian penyerang tengah.

Mungkin prestasi mantapnya pada musim ini mampu memikat Pan-gon untuk menyenaraikannya kembali dalam skuad kebangsaan.

Kali terakhir beliau menyarung jersi Harimau Malaya adalah pada tahun 2018 di bawah jurulatih Selangor FC ketika ini, Tan Cheng Hoe.

Versatilitinya juga semestinya bagus untuk skuad kebangsaan dan dapat memberi kelebihan buat Pan-gon dari segi pemilihan pemain.

Persembahannya juga berjaya memikat beberapa kelab gergasi Liga Super apabila dilaporkan beberapa kelab berminat mendapatkan khidmatnya musim depan.

Ini membuktikan bahawa beliau masih lagi mampu beraksi di tahap tertinggi walaupun sudah berusia.

Mungkin ada yang mempertikaikan umurnya yang mencapai 33 tahun, tetapi Brendan Gan yang berusia 34 tahun turut terpilih dalam skuad kebangsaan baru-baru ini.

Jadi tiada masalah sekiranya Mahali diberi peluang untuk menyarung semula jersi kebangsaan, asalkan beliau mampu memberikan persembahan yang mantap.