Azmi Muslim beri gambaran tidak akan kembali ke Penang FC, cari peluang bersama pasukan lain

446

Pemain pinjaman PDRM FC, Azmi Muslim memberi petanda bahawa beliau akan meninggalkan kelab asalnya, Penang FC pada saingan liga musim depan.

Namun, beliau masih belum menerima sebarang tawaran rasmi setakat ini daripada mana-mana pasukan termasuk PDRM FC.


“Saya habis kontrak dalam tahun ini dan saya rasa mungkin tidak akan kembali ke Penang FC, saya bersedia kalau PDRM FC masih memerlukan saya.

Masih belum ada mana-mana pasukan kerana saya ingin memberikan fokus kepada aksi Piala Malaysia terlebih dahulu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hubungan bersama pemain sedia ada di dalam pasukan memudahkan beliau memberikan aksi terbaik kepada PDRM FC.

Walaupun berhadapan dengan pertukaran jurulatih di dalam satu musim, Azmi tidak berhadapan dengan masalah untuk menyusaikan diri dengan baik.

Pengalaman beliau beraksi bersama pasukan ternama seperti Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Ta’zim FC semestinya menjadi antara faktor utama khidmat beliau masih diperlukan.

“Masing-masing jurulatih memiliki filosofi sendiri dan kami sebagai pemain harus mengikut apa yang dikehendaki oleh jurulatih.

Saya rasa tiada masalah untuk kedua-dua jurulatih kerana pemain memberikan komitmen untuk pasukan.”

Kehadiran Azmi akan berjaya menjadi tonik tambahan buat pasukan yang dibarisi oleh kebanyakan pemain muda tempatan.

“Saya tiada masalah untuk bermain dengan pemain-pemain muda PDRM FC kerana semua memberikan kerjasama yang baik.

Saya tidak terasa tekanan dan saya merasa berbangga semasa saya menerima panggilan daripada PDRM FC untuk mengambil saya sebagai pemain pada jendela kedua.”

Azmi pernah menyarung jersi kebangsaan bermula dari tahun 2009 sehingga 2014 dan beliau pernah mencipta kejutan sewaktu menjaringkan gol pada perlawanan persahabatan menentang Arsenal pada tahun 2012.

Beliau yang kini sudah mencecah usia 35 tahun tidak meletakkan sebarang harapan untuk kembali menyarung jersi kebangsaan.

“Untuk skuad negara, saya sedar dengan umur saya dan tempo permainan sekarang yang agak laju mungkin tidak sesuai.

Saya rasa bagi orang muda sahaja yang bermain.”

Azmi menyertai pasukan PDRM FC menerusi pinjaman daripada Penang FC pada jendela perpindahan pertengahan musim ini.