PDRM FC tidak berjaya capai sasaran, perlu cari ramuan baru untuk perbaiki pasukan menjelang Piala Malaysia

569

Ketua jurulatih sementara PDRM FC, Razak Jamadi akur dengan prestasi anak buahnya sepanjang Liga Perdana musim ini.

Beliau yang sebelum ini berperanan sebagai Pengarah Teknikal mengambil alih sebagai jurulatih sementara PDRM FC daripada bekas jurulatih, Wan Rohaimi.  


“KPI pada awal kami sasar untuk dapatkan tempat ketiga teratas, malangnya tidak berjaya mencapai jadi kami melakukan pembaharuan dalam pasukan untuk bersedia ke Piala Malaysia.

Pada pengamatan saya, sasaran itu memang tidak tercapai dan kami perlu lakukan kerja semula untuk perbaiki,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Namun beliau tidak terus berputus asa dan akan mencari formula terbaik bagi mencapai keputusan yang lebih baik di saingan Piala Malaysia musim ini.

Razak juga percaya bahawa Piala Malaysia akan jadi medium terbaik buat beliau memberi peluang kepada pemain muda ini.

Tambahan pula, mereka dijadual bertemu dengan pasukan yang berada di tangga keenam Liga Super.

“Saya cuba mengambil risiko untuk menggunakan pemain muda yang saya miliki bagi bersaing di Piala Malaysia nanti.

Saya buat apa yang terbaik untuk mereka, saya kena cuba bekerja dengan apa yang saya miliki.”

Pada masa yang sama, pemain pertahanan pasukan, Alif Naquiddin menganggap cabaran bersaing di Piala Malaysia bersama kelab-kelab lebih besar adalah sesuatu pengalaman berharga buat beliau dan pasukan.

“Bagi kami tak kisah siapa yang akan kami lawan, yang penting kami akan cuba buat yang terbaik.

Kami sebuah pasukan underdog dan kami cuba beri aksi sebaik mungkin menentang pasukan yang mempunyai bajet lebih besar.”

Alif turut mengakui bahawa musim kali ini bukanlah yang terbaik buat PDRM FC namun kesemua pemain masih dalam proses untuk terus membiasakan diri dengan keadaan semasa.

Tidak mustahil untuk mereka lakukan sesuatu kejutan di aksi Piala Malaysia nanti serta cemerlang di saingan Liga Super musim depan.

“Tahun ini ada naik turun prestasi dengan adanya jurulatih yang baru, pemain baru termasuk import yang baru.”

PDRM FC menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di kedudukan keenam selepas hanya berjaya memenangi enam daripada 18 perlawanan keseluruhan.