Penyokong tak perlu panik, Lim Teong Kim ada ‘resipi’ untuk bentuk skuad Perak FC ampuh untuk musim depan

2,600

Semalam telah berlangsungnya satu perlawanan persahabatan di antara Perak FC dan PIB FC yang mana ia berkesudahan dengan naib johan Liga M3 telah berjaya menang 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Perak.

Kekalahan pasukan Perak itu mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong yang agak terkejut dengan keputusan itu berikutan skuad The Bos Gaurus kini dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman Lim Teong Kim (LTK).


Berdasarkan perlawanan yang berlangsung semalam, apa yang boleh diperkatakan di sini adalah penyokong tidak perlu terlalu panik awal dengan keputusan tersebut kerana perlawanan semalam hanya sekadar perlawanan percubaan yang mana Teong Kim mempertaruhkan barisan pemain muda.

Walaupun menampilkan dua pemain import iaitu Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea dan Takuto Yasuoka dalam kesebelasan utama, ia tidak akan menjamin kemenangan kerana kesemua pemain ini sedang diuji oleh Teong Kim.

Menariknya selain Luciano yang berusia 30 tahun, pemain lain dalam kesebelasan utama adalah pemain berusia sekitar 21 hingga 27 tahun.

Teong Kim juga dilihat memberi peluang kepada penjaga gol muda Wong Tse Yang, yang merupakan anak bekas penjaga gol lagenda Perak era 70an, Wong Kam Fook.

Malah Teong Kim dalam satu temubual sebelum perlawanan menentang PIB juga sudah menyatakan bahawa beliau tidak meletak sebarang harapan langsung pada pasukannya dan mahu mereka enjoy kerana ia sekadar perlawanan percubaan.

Sumber foto: Perak FC

Pengendali berusia 59 tahun itu juga dilihat mempertaruhkan pemain-pemain yang kurang dikenali dan muda yang mana semua sedia maklum bahawa Teong Kim mahu membina pasukan ini dari bawah dengan memberi fokus kepada pemain muda.

Beliau enggan mencapai kemenangan ‘segera’ sebaliknya mahu melakukannya dengan mengikut peringkat demi peringkat supaya dapat membina asas yang kuat.

Mungkin akan ada segelintir peminat yang berkata jika ia merupakan perlawanan play-off ke Liga Super, sudah pasti Perak tidak akan layak naik ke Liga Super selepas tewas di tangan PIB.

Bagaimanapun, banyak aspek yang perlu diambil kira dan salah satunya sekiranya ia adalah perlawanan play-off sudah pasti percaturan pengendali itu akan berubah dengan sudah pasti beberapa pemain berpengalaman seperti Wan Zack Haikal, Indra Putra Mahayuddin, Syamim Yahya dan Zamir Selamat akan disenaraikan.

Memandangkan ia sekadar perlawanan percubaan, maka Teong Kim mengambil pendekatan untuk memberi minit permainan kepada pemain muda dan baru bagi melihat prestasi mereka samada mereka sesuai atau tidak dengan taktikal dan pendekatan yang akan digunakannya pada musim depan.

Ketiadaan pemain senior ini juga telah mengundang persoalan iaitu apakah nasib mereka pada musim hadapan. Adakah mereka akan kekal atau kontrak mereka akan ditamatkan? Persoalan itu hanya akan terjawab tidak lama lagi selepas Teong Kim membuat keputusan pemain mana yang akan dipilih untuk beraksi bersama pasukan itu pada musim depan.

Jika mereka tidak lagi bersama pasukan itu sebagai pemain, adakah mereka akan diserap dalam barisan kejurulatihan? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Apa pun, penyokong tidak perlu panik dan teruskan memberi sokongan penuh kepada pasukan, ketua jurulatih dan juga pihak pengurusan kerana mereka berada di landasan tepat untuk membina semula pasukan.

Penyokong juga tidak boleh mengharapkan kejayaan dalam tempoh singkat kerana ia tidak akan dapat bertahan lama, sebaliknya biar ia melalui proses mengikut fasa supaya apabila sudah berada di puncak, ia dapat terus kekal sekaligus mengembalikan status sebagai gergasi utara.

Ingat, Kota Rom tidak dibina dalam sehari! Jadi teruskan beri sokongan padu buat pasukan kesayangan anda tidak kira pada waktu susah dan senang.