Tiada siapa yang lebih besar daripada peminat, tindakan Shin Tae-yong cetus kemarahan penyokong Garuda

12,294

Krisis bola sepak negara jiran, Indonesia dilihat semakin bergolak selepas insiden demi insiden yang berlaku pada waktu ini.

Terbaru, ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong telah menerima kritikan dan kecaman selepas beliau menyatakan sokongannya terhadap Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan atau lebih dikenali sebagai Iwan Bule.


Malah, Tae-yong juga mengeluarkan sebuah kenyataan berbaur ugutan akan turut sama mengundurkan diri daripada posisi beliau sekiranya Iwan berundur dari memegang tampuk kepimpinan PSSI.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan daripada semua penyokong pasukan Indonesia yang dilihat berang dengan perkara sehingga ada segelintir daripada mereka yang memulakan kempen di media sosial untuk mempromosikan hashtag #STYOut.

Perkara ini dilihat tidak wajar berlaku kerana tidak ada mana-mana pihak termasuk jurulatih yang boleh merasakan bahawa kedudukan mereka lebih besar daripada sebuah pasukan meskipun beliau berjaya membawa pelbagai kejayaan kepada skuad kebangsaan Indonesi.

Ini termasuk mengalahkan pasukan di ranking ke-86 dunia, Curacao sebanyak dua kali serta layak ke Piala Asia tahun hadapan.

Terdahulu, Iwan diminta untuk berundur dan melepaskan jawatannya di badan induk bola sepak negara tersebut susulan daripada kejadian tragis yang berlaku di Stadium Kanjuruhan pada awal Oktober lalu.

Ada peminat yang melihat situasi ini sebagai salah sebuah propaganda yang digunakan oleh pihak PSSI untuk meraih kembali sokongan daripada peminat.

Tambahan pula, tidak lama selepas itu muncul beberapa orang pemain utama pasukan kebangsaan tersebut yang turut sama memberikan sokongan kepada kenyataan dikeluarkan oleh Tae-yong.

Berdasarkan pemerhatian, terdapat lebih kurang sepuluh pemain bintang Indonesia yang telah menyatakan sokongan mereka di media sosial terhadap Tae-yong termasuk pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani.

Lebih menarik, pemain yang kini beraksi di luar negara, Asnawi Mangkualam serta Pratama Arhan turut senada dengan pengendali dari Korea Selatan tersebut.

Situasi ini sedikit sebanyak merencatkan kecemerlangan pasukan Indonesia semenjak berada di bawah bimbingan Tae-yong.

Sekiranya jurulatih tersebut berundur, ia akan menjadi sebuah kehilangan yang cukup besar buat bola sepak Indonesia memandangkan beliau bukan sekadar bertanggungjawab ke atas skuad senior semata-mata.

Malah, jurulatih berusia 52 tahun tersebut turut berperanan sebagai pengendali untuk dua skuad muda Garuda iaitu pasukan B-23 serta B-20.

Kepimpinan bola sepak Indonesia perlu menggantikan beliau dengan seorang atau beberapa orang jurulatih yang mampu menggalas tanggungjawab sebesar itu.

Mungkin ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo boleh dipertimbangkan sebagai salah seorang calon yang sesuai sekiranya Tae-yong benar-benar ‘angkat kaki’.

Ini kerana Hang-seo merupakan salah seorang jurulatih yang cukup mengenali selok belok bola sepak rantau Asia Tenggara.

Tambahan pula, pembaharuan kontrak beliau bersama Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) masih belum mendapat sebarang kata putus buat masa ini.

Harap segala krisis ini dapat diselesaikan dengan segera agar tidak mengganggu persiapan pasukan Indonesia menjelang Piala AFF dan Piala Asia.