Pemain badminton negara miliki teknik dan skil yang hebat, perlu buang ‘overthinking’ untuk pergi lebih jauh

519

Baru-baru ini, tular sebuah tweet yang menyampaikan pendapat Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky terhadap pemain-pemain negara.

Rexy mengakui kebolehan yang dimiliki oleh pemain-pemain negara termasuk mempunyai skil dan kemahiran permainan yang setara dengan pemain dunia yang lain.


Namun, mereka perlu mengatasi masalah ‘overthinking’ yang sering menjadi halangan utama untuk mereka melangkah dengan lebih jauh.

Mereka perlu memastikan mentaliti mereka sentiasa berada di dalam tahap terbaik dan bersedia untuk berhadapan dengan sebarang bentuk cabaran.

Kenyataan ini dilihat tepat memandangkan negara buat masa ini dilihat memiliki lambakan pemain berkualiti yang mampu memberi saingan hebat di pentas antarabangsa.

Harapnya selepas ini pemain-pemain negara samada di bawah kendalian BAM mahupun pemain profesional dapat terus memperoleh keyakinan untuk menghadapi setiap perlawanan demi perlawanan.

Tidak adil untuk melakukan perbandingan terhadap pemain semasa dengan pencapaian yang pernah dicapai oleh bekas-bekas pemain di era terdahulu.

Namun, pemain pemain ini boleh menjadikan semangat dan mentaliti yang dimiliki oleh legenda negara seperti Datuk Wira Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek sebagai contoh terbaik buat mereka menjadi lebih fokus dalam memberikan saingan.

Tidak mustahil untuk pemain-pemain negara dapat kembali mendominasi arena badminton dunia dalam masa terdekat.

Sudah terbukti, keazaman yang tinggi berjaya membawa pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul pingat emas di Kejuaraan Dunia baru-baru ini.

Kejayaan seperti ini perlu menjadi azimat dan pembakar semangat buat para pemain negara untuk mengikut jejak langkah yang sama.

Terutamanya di kalangan pemain-pemain muda yang semakin meningkat naik seperti Justin Hoh, Siti Nurshuhaini dan Fazriq Razif yang bakal bersaing pada Kejohanan Remaja Dunia 2022 bermula 17 Oktober ini.

Pada masa yang sama, antara pemain yang diberi harapan tinggi untuk kembali bangkit adalah pemain perseorangan No. 3 Dunia, Lee Zii Jia yang sedang giat menjalani latihan di Denmark bersama pemain No.1 Dunia, Viktor Axelsen sebelum kejohanan Terbuka Denmark bermula.

Zii Jia memiliki kebolehan dan potensi yang cukup besar untuk menyekat dominasi Axelsen tatkala hanya beliau sahaja yang mampu memberikan cabaran sengit setiap kali beraksi menentang jaguh dunia tersebut.

Berdasarkan prestasinya, pemain tersebut dilihat miliki kemampuan untuk capai tahap yang jauh lebih tinggi.

Beliau perlu menguatkan mentalitinya untuk mencapai lebih banyak kegemilangan terutama sekali pada kejohanan World Tour Final hujung tahun ini.

Kebangkitan yang sama turut diharap dapat dicapai oleh pemain-pemain yang lain seperti Ng Tze Yon, Cheam June Wei serta Goh Jin Wei.

Tidak lama lagi, kita akan melihat beberapa pemain dari Malaysia yang berjaya menjejak kaki kembali ke podium pertama.

Semoga kita dapat melihat kebangkitan pemain-pemain badminton negara selepas ini di beberapa kejohanan yang semakin rancak berlangsung selepas redanya pandemik COVID-19.