MOM komited misi ‘Gold Paris 2024’, atlet berdarah kacukan kini jadi tumpuan

615

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semakin komited dalam mempersiapkan barisan atlet negara yang bakal dipilih untuk menggalas tanggungjawab dalam mendapatkan pingat di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program ‘Gold Paris 2024’, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyatakan hasrat untuk mengenal pasti atlet berdarah kacukan Malaysia yang memiliki potensi untuk diketengahkan.


Tindakan ini dapat dilihat sebagai sebuah inisiatif yang baik dan mampu memberi kelebihan jangka masa pendek buat pasukan negara selain daripada usaha-usaha yang dilakukan sebelum ini dalam melahirkan atlet berkualiti.

Tambahan pula, perkara ini sering berlaku di arena antarabangsa dan ada beberapa negara yang berjaya merangkul pingat emas hasil daripada situasi ini.

Pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Itali berjaya mendapatkan dua pingat emas daripada seorang atlet kacukan Itali-Amerika Syarikat, Lamont Marcell Jacobs yang cemerlang dalam dua acara utamanya iaitu 100 meter dan 4 x 100m.

Selain Jacobs, terdapat beberapa lagi atlet lain seperti Kyla Ross yang jugas merupakan antara salah seorang atlet gimnastik ternama dunia yang mempunyai darah kacukan.

Ross merupakan atlet Amerika Syarikat yang memiliki beberapa pertalian darah seperti Jepun, Filipina serta Puerta Rica.

Selain cemerlang di kejohanan dunia, beliau turut berjaya merangkul pingat emas di temasya Sukan Olimpik 2012 di London dalam acara berpasukan.

Kejayaan-kejayaan seperti ini perlu menjadi dorongan kepada badan-badan sukan di Malaysia terutama sekali MOM untuk menjayakan usaha ini dengan sebaiknya agar impian kita untuk merangkul pingat emas di Sukan Olimpik mampu tercapai suatu hari nanti.

Terdahulu, Malaysia pernah memiliki beberapa orang atlet berdarah kacukan seperti bekas pemain skuasy, Azlan Iskandar yang pernah berada di kedudukan ke-10 dunia pada tahun 2011.

Malangnya, Malaysia tidak dapat memanfaatkan perkara ini memandangkan sukan tersebut tidak dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik.

Buat masa ini, Malaysia masih memiliki beberapa atlet kacukan yang mula mewakili negara seperti pelari pecut, Russel Alexander Nasir Taib yang berpengkalan di Australia.

Sudah semestinya fokus perlu diberikan kepada beberapa sukan yang sering kali berjaya melayakkan diri ke temasya tersebut seperti hoki, berbasikal, badminton dan terjun.

Ini adalah antara sukan yang memiliki prospek besar dan dengan kehadiran beberapa atlet kacukan, tidak mustahil misi emas negara dapat dijayakan.

Pada masa yang sama, atlet sedia ada tetap perlu berikan yang terbaik kerana tindakan ini boleh dianggap untuk jangka masa pendek sahaja tambahan pula buat masa ini kita tidak memiliki lambakan atlet berdarah kacukan yang menonjol.