Liga Vietnam bakal guna VAR, Liga Malaysia masih ketinggalan walau gah dengan status ‘liga terbaik ASEAN’

695

Liga bola sepak Vietnam, V.League 1 melangkah satu tahap ke hadapan apabila bakal menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) bermula musim 2023/24.

Perkara itu diputuskan selepas perbincangan yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) dan Vietnam Professional Football Joint Stock Company (VPF) dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 10 dan 11 Oktober baru-baru ini.


Pengenalan teknologi itu dalam V.League 1 pastinya akan meningkatkan lagi mutu pengadilan serta kualiti liga tersebut secara keseluruhan.

Ia memberi manfaat kepada pemain-pemain dalam liga tersebut untuk membiasakan diri dengan teknologi tersebut, yang turut diguna pakai dalam saingan peringkat Asia.

Vietnam bakal menjadi negara terbaru dalam ASEAN yang menggunakan teknologi VAR selain Thailand dan Singapura.

Malah, Liga 3 di Indonesia juga pernah mengguna pakai teknologi video walaupun bukan teknologi VAR yang rasmi daripada FIFA.

Ketika banyak negara jiran sedang bergerak ke hadapan dalam meningkatkan kualiti bola sepak mereka, Malaysia pula masih belum terdapat ura-ura untuk mengimplementasi teknologi VAR dalam saingan domestik.

Walaupun ramai yang sering berbangga dengan ranking MA negara yang berada di kedudukan pertama ASEAN, negara-negara yang berada di bawah nampaknya kelihatan lebih agresif dalam mengikut teknologi moden.

Mutu pengadil tempatan juga sering dipersoalkan kerana ada saja kesilapan serta kontroversi yang berlaku melibatkan keputusan pengadil.

Usaha untuk meningkatkan mutu pengadil juga dilihat tidak proaktif, apatah lagi penggunaan teknologi VAR dalam saingan tempatan.

Tidak mustahil selepas ini negara-negara yang dianggap kuasa kecil dalam bola sepak di rantau ini seperti Kemboja, Myanmar, Brunei dan lain-lain akan menggunakan teknologi VAR sebelum Malaysia.