Selepas Erling Braut Haaland, seorang lagi ‘robot’ berbaka Braut bakal gegarkan dunia bola sepak

10,981

Dunia bola sepak ketika ini sedang memperkatakan tentang kehebatan Erling Braut Haaland yang ‘mengganas’ dalam sembilan perlawanan pertamanya di Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City.

Dengan 15 gol dalam sembilan perlawanan liga dan 20 gol dalam 13 penampilan di semua kejohanan, beliau dilihat bakal menyambung dominasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, malah mungkin melakukan lebih lagi.


Baru-baru ini tular pula kehebatan sepupunya, Albert Braut Tjaaland yang ketika ini bermain di liga simpanan Norway bersama kelab Bryne 2, dipinjamkan dari Molde.

Seperti sepupunya, Tjaaland, 18, juga merupakan seorang penyerang dan memulakan karier bola sepaknya di kelab sama iaitu Bryne pada 2015, di mana beliau bermula dengan skuad B-13 walaupun usianya ketika itu baru 11 tahun.

Beliau menjaringkan 40 gol dalam 31 perlawanan di peringkat belia untuk kelab tersebut sebelum berjaya dinaikkan pangkat ke skuad senior dan melakukan debut dalam perlawanan persahabatan pada Mac 2020.

Bersama satu lagi kelab yang diwakilinya di peringkat belia, Molde, rekodnya lebih hebat dengan 64 gol dalam hanya 37 penampilan.

Beliau melakukan debut bersama skuad utama Molde tahun lalu dalam saingan Piala Norway, masuk sebagai pemain simpanan pada minit ke-83 dan menjaringkan gol beberapa minit selepas itu.

Dengan statistik yang ‘gila’, dunia bola sepak akan tertumpu kepada beliau dan jangkaan terhadapnya untuk mengikuti jejak langkah Haaland sudah tentu amat tinggi.

Mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, kita akan melihat Tjaaland pula mendominasi dunia bola sepak bersama Haaland, menggantikan perseteruan Messi dan Ronaldo.