Kim Swee akan cuba kekalkan Saddil namun terbuka jika ada sebarang tawaran rasmi

953

Terdahulu, pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani sering dikaitkan dengan perpindahan keluar ke beberapa kelab termasuk dari luar negara.

Ketua jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee tenang menghadapi segala khabar angin memandangkan beliau tidak menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab buat masa ini.


Tambahan pula, Kim Swee tidak ingin perkara ini dipanjangkan sehingga mengganggu fokus pemain utama tersebut serta menjejaskan aksinya di atas padang kelak.  

“Isu Saddil bukan sahaja pada penghujung musim walhal dari awal musim lagi dan bagi saya kita tidak perlu mengganggu fokus beliau.

Apa yang kita dapat lihat, Saddil sendiri tidak menunjukkan sebarang masalah dengan isu-isu yang timbul,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau juga tidak menolak sekiranya ada pasukan yang berani melakukan tawaran rasmi secara profesional bagi mendapatkan pemain tersebut.

Saddil yang telah beraksi sebanyak 16 kali dalam saingan liga musim ini merupakan salah seorang pemain utama buat skuad Sang Badak.

“Beliau seorang yang profesional dan sudah pasti sesiapa yang mendapatkan khidmat Saddil akan mempunyai kelebihan.

Saya tidak menumpukan samada Saddil akan kekal atau tidak tetapi pihak pengurusan akan berusaha untuk kekalkan beliau dan jika mereka ada tawaran di luar mereka perlu datang secara profesional.”

Buat masa ini, Kim Swee belum ingin terlalu memikirkan tentang liga musim depan bagi memberi sepenuh perhatian kepada saingan yang perlu dihadapi buat masa ini seperti Piala Malaysia.

Sudah pasti, Piala Malaysia akan menjadi salah sebuah sasaran utama buat Kim Swee untuk membuktikan kredibilitinya selepas mereka gagal mengekang dominasi Johor Darul Ta’zim  FC di dalam saingan Liga Super.

“Masih terlalu awal untuk saya memikirkan tentang pemain lain untuk di bawa ke Sabah, yang penting kita tumpukan dahulu pada perlawanan terakhir pada malam esok.

Kita juga ada musim Piala Malaysia untuk kita harungi, jadi dalam masa yang sama sudah tentu saya akan menilai pemain semasa yang ada di dalam pasukan dan memikirkan penambahan baik kerana bukan mudah untuk membawa pemain dengan kekangan sumber kewangan.”

Pertembungan menentang JDT pada esok hari (15 Oktober) akan menjanjikan aksi yang menarik memandangkan ini merupakan peluang terakhir untuk Sabah FC memperoleh slot automatik ke Piala AFC musim depan.

Mereka kini hanya dipisahkan satu mata dengan pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC.