Presiden Jokowi minta Shin Tae-yong tidak buat keputusan terburu-buru selepas ancam undur diri pasukan kebangsaan Indonesia

2,542

Bola sepak Indonesia kini sedang bergolak selepas tragedi Kanjuruhan yang menyaksikan banyak nyawa hilang dek rusuhan yang berlaku baru-baru ini.

Laporan mengenai tragedi itu masih pun belum siap sepenuhnya, namun sudah ada pihak yang mendesak Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Mochamad Iriawan atau Iwan Bule meletak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab terhadap tragedi yang berlaku.


Desakan itu telah mencetuskan rasa kurang senang ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia iaitu Shin Tae-yong yang dengan lantang menyuarakan sokongannya terhadap Iwan Bule, malah membuat kenyataan berbaur ugutan yang mana beliau akan undur diri jika Iwan Bule letak jawatan.

Perkara itu telah mendapat perhatian Presiden Indonesia iaitu Joko Widodo (Jokowi) yang seakan-akan cuba menenangkan Tae-yong apabila meminta pengendali dari Korea Selatan itu bertenang terlebih dahulu.

Jokowi dalam kenyataan media berkata beliau akan menerima laporan penuh daripada Pasukan Gabungan Bebas Pencari Fakta tragedi itu pada pagi Jumaat sebelum dalam membuat kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

Tidak dapat dinafikan Tae-yong merupakan figura terpenting dalam bola sepak Indonesia kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab melakukan perubahan drastik dalam bola sepak negara itu yang mana menyaksikan skuad Sang Garuda kini kembali menjadi gergasi di rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun, kenyataannya itu turut mengundang kemarahan segelintir penyokong sehingga mereka memulakan kempen media sosial dengan hastag #STYOut.

Kedua-dua pihak baik Tae-yong mahu pun penyokong perlu bersikap lebih profesional dan tidak membuat kenyataan mengikut emosi.

Tae-yong juga tidak wajar mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kerana dalam dunia bola sepak tiada siapa lebih besar daripada pasukan itu sendiri walaupun beliau adalah figura yang berjaya membawa pelbagai kejayaan kepada skuad kebangsaan.

Sementara itu, Jokowi juga perlu berhati-hati dalam memberi kenyataan terutamanya berkaitan pentadbiran PSSI sendiri kerana jika terdapat campur tangan pihak kerajaan dalam badan induk bola sepak itu, FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) tidak akan teragak-agak untuk menggantung Indonesia dari menyertai sebarang kejohanan bola sepak.

Indonesia perlu ambil contoh dengan apa yang berlaku di India apabila FIFA menggantung negara itu apabila terdapat campur tangan daripada pihak kerajaan. Bagaimanapun penggantungan itu ditarik balik apabila FIFA mendapati tiada lagi campur tangan pihak ketiga dalam Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).