Penang FC, KDA FC cuba ‘pujuk’ peminat dengan beri tiket percuma untuk perlawanan terakhir Liga Super

697

Saingan Liga Super musim 2022 bakal menutup tirainya esok pada 15 Oktober dengan perlawanan terakhir apabila berjalan dengan serentak.

Juara Liga Super sudah pun diketahui lebih awal apabila juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengesahkan kejuaraan kesembilan berturut-turut.


Dua pasukan yang pada mulanya dilihat mampu memberi saingan sengiti iaitu Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA) meleset apabila kedua-dua pasukan mempamerkan aksi tidak konsisten sepanjang musim ini.

Penang kini berada di tangga tercorot, manakala KDA pula berada di kedudukan ketujuh sekaligus prestasi terburuk mereka selepas 2018.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada prestasi tidak konsisten kedua-dua pasukan dari utara itu adalah terpaksa menggunakan hampir keseluruhan pemain baru selepas tonggak utama berhijrah.

Untuk KDA, mereka bukan sahaja kehilangan tonggak utama seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali, tetapi juga bajet musim 2022 yang kecil memaksa pengurusan menggunakan pemain muda dan kurang pengalaman.

Perkara sama turut berlaku pada pasukan Penang apabila lebih separuh tonggak utama meninggalkan pasukan itu.

Mahu menghargai peminat yang setia bersama pasukan sepanjang musim ini, kedua-dua pasukan cuba ‘memujuk’ peminat setia mereka apabila menawarkan tiket percuma buat peminat untuk perlawanan terakhir.

Penang yang akan menentang Selangor FC di tempat sendiri akan memberi tiket percuma kepada semua peminat tuan rumah dan juga pelawat (650 keping tiket sahaja).

Manakala untuk peminat KDA pula, tiket percuma diberikan kepada peminat yang terpaksa pulang awal apabila tidak dapat menyaksikan perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC Jumaat lalu akibat ditunda.

Pemegang tiket perlawanan di Paroi itu akan menerima pas masuk percuma bagi menyaksikan Sang Kenari menentang Terengganu FC.

Aksi KDA pada malam esok di Stadium Darul Aman berkemungkinan besar akan turut dihadiri oleh Presiden KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Adakah dengan kehadiran Sanusi akan menghadiahkan tiga mata penting untuk KDA dalam perlawanan terakhir? Atau Terengganu akan menghadiahkan kekalahan kelimat berturut-turut buat KDA? Sama-sama kita tunggu.