Saya dah digantung sebelum ni, jadi kalau saya cakap lagi nanti kena gantung lagi – Ong Kim Swee

2,033

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee enggan mengulas lanjut mengenai kualiti pengadilan pada perlawanan malam tadi kerana bimbang digantung lagi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya benam cabaran Sabah FC 4-0.


Bagaimanapun gol pertama JDT menjadi pertikaian apabila dikatakan ofsaid menyebabkan Kim Swee berang.

“Saya dah digantung, kalau saya cakap ni saya kena gantung lagi. Saya nasihatkan pada pegawai perlawanan untuk saksikan semula insiden tersebut. Kalau saya cakap tak tahu berapa lama nak kena.

Itulah perkara-perkara yang sentiasa berlaku yang mana kita perlu perbaiki, bukan sahaja pasukan saya perlu perbaiki, tetapi keputusan-keputusan pegawai perlawanan harus diperbaiki juga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Kim Swee akui beliau terpaksa akur dengan kekuatan pasukan JDT yang berjaya mengambil kesempatan di atas kelonggaran pemainnya untuk mengawal rapi pemain lawan sehingga memberi mereka ruang untuk menjaringkan gol.

Beliau pada masa sama turut mengakui anak buahnya gagal mendapat rentak permainan sejak awal perlawanan lagi.

“Kita tak dapat rentak permainan daripada awal lagi di mana kita tidak mengawal permainan seperti yang kita hendaki. Apabila kita memberi ruang kepada pasukan JDT kita tahu mereka mempunyai kualiti dan corak permainan berbeza.

Apabila kita dibolosi gol pertama dan selang beberapa minit gol kedua ini menyukarkan kita. Namun pada separuh masa kedua apabila kita cuba kehadapan kita bermain agak baik pada 20 minit pertama separuh masa kedua tapi kita gagal menjaringkan gol.”

Kim Swee juga berkata JDT adalah sebuah pasukan yang berada dalam kelas mereka tersendiri dan Sabah perlu belajar dan beliau berharap pemainnya dapat bangkit semula selepas ini kerana perjalanan Liga Super masih panjang.

Sementara itu, beliau juga mengakui tahap kecergasan pemain kebangsaan seperti Darren Lok, Stuart Wilkin dan Dominic Tan yang keletihan selepas baru sahaja selesai tugasan negara bersama pasukan kebangsaan turut memberi kesan pada perlawanan malam tadi.

“”Ya selang beberapa hari iaitu tiga hari selepas selesai bermain untuk pasukan kebangsaan mereka turun beraksi lagi, jadi bukan mudah untuk mereka. Jika kita tidak bermain dengan JDT mungkin boleh sekiranya kita mengawal permainan, jadi kurang keletihan pemain.

Apabila kita harus mengejar dan bermain dengan pasukan baik, kita harus lebih berdisiplin dan ini menyebabkan mereka keletihan.”

Untuk perlawanan seterusnya, Sabah akan menentang KL City FC pada 5 April ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.