Kami tidak tahu Arif Aiman & Endrick Dos Santos boleh bermain pada malam ini sehingga hari terakhir latihan – Esteban Solari

10,239

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui mereka tidak tahu dua tonggak utama Arif Aiman dan Endrick Dos Santos boleh diturunkan pada perlawanan menentang Sabah FC malam tadi sehingga hari terakhir latihan.

“Sejujurnya kami (barisan kejurulatihan) tidak tahu Arif Aiman dan Endrick Dos Santos boleh bermain pada malam ini sehingga hari terakhir latihan kerana mereka tidak dapat turun berlatih sepenuhnya.

Apabila pasukan kebangsaan melepaskan mereka kerana kecederaan, pasukan perubatan kami telah berusaha dan telah melakukan kerja yang baik untuk pulihkan mereka di saat-saat akhir,”

katanya.

Menurut Solari, kedua-dua pemain juga menunjukkan semangat dan mahu turun beraksi telah memperlihatkan mereka memberikan aksi yang cukup menarik.


Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi, JDT berjaya membenam Sabah 4-0 dengan Arif Aiman berjaya membuka akaun jaringan pasukan pada minit ke-20′, Juan Muniz minit ke-39′, Syahmi Safari minit ke-80′ dan Fernando Forestieri pada minit ke-89′.

Walaupun berjaya menang dengan selesa, Solari tetap mengakui perlawanan pada malam tadi adalah perlawanan yang sukar buat mereka.

“Perlawanan malam tadi sukar kerana kita bermain menentang Sabah yang belum pernah kalah. Kami sedar akan berdepan cabaran sukar selepas saingan liga rehat seketika dengan ramai pemain bermain untuk pasukan kebangsaan.

Ia cabaran tapi saya ingin ucapkan tahniah kepada pemain kerana bermain dengan begitu baik sekali. Mereka tahu perlawanan sukar terutamanya pada separuh masa kedua, tapi mereka berjaya bermain dengan tenang dan menjaringkan gol.”

Solari turut memberi pujian kepada pemain-pemain simpanan yang diturunkan pada malam tadi yang berjaya membalas kepercayaannya dengan memberi aksi yang mantap termasuk Syahmi Safari yang berjaya menjaringkan gol ketiga JDT.

Sementara itu, untuk perlawanan Liga Super seterusnya mereka akan bertandang ke Ipoh, Perak untuk menentang pasukan Perak FC.

Biarpun Perak dibarisi oleh ramai pemain-pemain muda, namun Solari enggan berasa selesa sebaliknya tetap menganggap perlawanan itu sebagai satu lagi perlawanan sukar buat pasukannya.

“Bagi kami tiada perlawanan yang mudah. Setiap perlawanan adalah satu cabaran buat diri kami kerana kami bersaing untuk menjadi lebih baik setiap hari supaya kami menjadi pasukan yang lebih hebat.”