Perak FC masih di fasa permulaan, penyokong perlu terus percaya kepada proses yang dirancang DLTK

528

Setelah enam perlawanan Liga Super berlangsung, Perak FC kini berada di tangga kesepuluh liga dengan lima mata selepas mencatat satu kemenangan, dua seri serta tiga kekalahan.

Walaupun gaya permainan Perak dipuji oleh ramai pihak, kekurangan pengalaman dilihat menjadi punca pasukan itu sukar mencatatkan kemenangan menentang lawan mereka.


Selain itu, Perak juga bergelut dengan disiplin pemain di atas padang apabila menjadi pasukan paling banyak menerima kad merah pada musim ini iaitu sebanyak empat.

Walaupun pasukan Perak masih di fasa awal kebangkitan semula di bawah kendalian ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim, terdapat peminat yang sudah tidak sabar untuk melihat keputusan yang baik.

Namun, bagi pengerusi kelab, Datuk Seri Abdul Azim Zaidi, beliau menganggap Perak masih di landasan untuk membina pasukan.

Katanya, setakat ini beliau melihat Perak sedang bergerak dengan betul mengikut peringkat yang mereka tetapkan.

Malam ini, Perak akan melayan kunjungan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijangka tidak menghadapi kesukaran untuk meraih kemenangan.

Dengan prestasi menakjubkan yang ditunjukkan oleh JDT pada permulaan musim ini, ada yang menjangkakan mereka tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan kemenangan besar.

Sekiranya Perak tewas besar sekalipun pada malam ini, kepercayaan harus tetap diletakkan di bahu Teong Kim untuk beliau merealisasikan pelannya untuk Perak.

Harus diakui untuk membangungkan sebuah pasukan dengan bergantung harap kepada ramai pemain muda bukanlah mudah.

Ia satu proses yang memakan masa dan memerlukan kesabaran terutama daripada pemilik dan juga peminat.

Jika dinilai daripada gaya permainan Perak pada permulaan musim ini, boleh dilihat Teong Kim telah meletakkan asas yang baik buat pemain-pemain muda Perak.

Dalam tempoh setahun dua lagi, mungkin peminat sudah boleh menikmati hasilnya dan Perak ketika itu sudah berada di kelompok pasukan teratas dalam liga.