Selangor, Kedah dan Kelantan jual cenderahati sempena raya, satu inisiatif bijak tambah ‘duit poket’

168

Kebiasaannya setiap pasukan dalam Liga Malaysia pasti akan sibuk dengan jualan jersi pasukan masing-masing di awal musim saingan liga kerana ia adalah antara sumber pendapatan sesebuah pasukan tersebut.

Tetapi jualan jersi ini selalunya hanya mendapat sambutan daripada para peminat pada awal saingan liga sahaja dan tidak semua pasukan mendapat keuntungan yang banyak dalam jualan jersi pasukan mereka.


Setiap pasukan perlu mempunyai inisiatif lain bagi menampung sumber kewangan kelab mereka sendiri seperti pasukan Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Kelantan FC di mana masing-masing giat melakukan jualan ketika bulan Ramadan ini.

Selangor adalah antara pasukan yang dilihat sangat berjaya dalam penjualan jersi mereka yang sentiasa mendapat sambutan yang baik daripada peminat pasukan tersebut.

Dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, pasukan ini telah membuat jualan sampul raya versi jersi Selangor 2023 dengan serendah RM12 sahaja.

Selangor dilihat serius dalam memastikan segala barangan keluaran pasukan mereka dalam keadan berkualiti supaya para penyokong sentiasa berpuas hati dan dapat melabur kepada kelab dengan membeli barangan yang dikeluarkan oleh kelab sendiri.

Pasukan Kedah juga turut sama mengeluarkan kurma dan sampul duit raya khas daripada pasukan mereka dan ia adalah satu inisiatif yang baik oleh pihak pengurusan dalam menjana lagi kewangan kelab.

Tidak ketinggalan satu lagi pasukan iaitu Kelantan yang telah mengeluarkan baju kurta dengan jenama TRW sebagai antara jualan mereka pada musim perayaan yang bakal tiba.

Ini merupakan satu keunikan di mana kelab bola sepak juga boleh berniaga dan mengeluarkan jenama mereka tersendiri dan menggunakan kesempatan bulan ramadhan serta Hari Raya Aidilfitri untuk menjana pendapatan.

Usaha ini boleh dicontohi oleh kelab-kelab lain, terutama kelab yang tidak mempunyai sumber kewangan yang tinggi, dalam menambah lagi pendapatan pasukan mereka.

Malah usaha ini juga boleh diteruskan bagi hari perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain.

Ia sedikit sebanyak pasti dapat membantu setiap pasukan dari segi penjanaan kewangan pasukan masing-masing serta dapat meraikan kepelbagaian kaum yang terdapat di negara ini.

Inisiatif seperti ini juga adalah salah satu cara pemasaran yang bagus untuk memastikan kelab sentiasa dekat di hati peminat.