Dua pasukan Kelantan terlalu awal rehatkan jurulatih, adakah mereka tidak percaya pada proses?

295

Liga Super Malaysia tidak sah jika tiada isu berkaitan pemecatan atau merehatkan jurulatih pada setiap musim dimana ia sudah menjadi lumrah dan nasib para jurulatih yang berada disini.

Tetapi apa yang lebih memeranjatkan adalah dengan merehatkan jurulatih pada awal saingan yang baru sahaja memasukai perlawanan ketujuh liga dan ia nampak seperti jurulatih tersebut tidak diberikan peluang dan masa untuk mengendalikan pasukan.


Ini berlaku apabila dua pasukan dari pantai timur iaitu Kelantan FC dan Kelantan United FC telah merehatkan ketua jurulatih mereka pada perlawanan ketujuh liga.

Selepas Choi Moon-sik direhatkan pasukan Kelantan, kini satu lagi pasukan mengambil langkah sama iaitu Kelantan United yang merehatkan Tomas Trucha selepas kelibat jurulatih itu tidak kelihatan dalam perlawanan antara Kuching City FC dan Kelantan United semalam.

Keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pasukan ini dilihat sebagai satu tindakan yang terburu-buru dan apakah pihak pengurusan tidak mempercayai proses yang sedang dilakukan oleh ketua jurulatih tersebut.

Untuk rekod, pasukan Kelantan ketika ini menduduki tangga ke-13 liga dengan satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan, manakala Kelantan United pula menduduki tangga tercorot liga dengan dua seri dan lima kekalahan.

Walaupun kedua-dua pasukan tersebut masih bergelut dengan prestasi pasukan masing-masing, akan tetapi perjalanan liga masih panjang dan mungkin boleh menilai prestasi sebenar jurulatih tersebut pada pertengahan liga.

Keputusan ini pasti memberikan sedikit sebanyak kesan terhadap pasukan pada awal saingan ini untuk terus mencari rentak sebenar pasukan bagi mengharungi perlawanan-perlawanan seterusnya.

Buat masa ini Kelantan dikendalikan oleh penolong jurulatihnya Rezal Zambery Yahya dan berkemungkinan besar Pengarah Teknikal pasukan, Frank Bernhardt akan dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru.

Bagaimanapun, bagi Kelantan United masih tidak diketahui sama ada sudah mempunyai pengganti untuk mengisi kedudukan sebagai jurulatih baru kelab berkenaan atau tidak kerana ketika ini ia dikendalikan oleh Nazrulerwan Makmor.

Realitinya kedua-dua pasukannya ini baru sahaja naik ke Liga Super selepas beraksi di Liga Perdana musim lalu, oleh itu untuk meletak sasaran yang cukup tinggi pada musim ini tampak seperti tidak realistik.

Tambahan pula terdapat jurang yang cukup ketara dari segi bajet pasukan dan ia sudah semestinya akan memperlihatkan perbezaan kualiti yang akan menjadi penentu kepada keputusan.