TMJ masih belum berpuas hati dengan prestasi JDT

5,851

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris enggan mengulas lanjut mengenai ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim.

“Benda tu dari dulu lagi saya sudah cakap pasal benda ni, tapi ketika itu ramai yang sanjung dia. Jadi saya tak nak cakap banyak pasal benda itu,”

jawabnya ringkas dalam satu video temubual bersama Johor Southern Tigers.

Sejak Teong Kim mengendalikan skuad The Bos Gaurus, beliau sudah beberapa kali terpalit dengan beberapa kontroversi yang menjadi perhatian ramai peminat bola sepak tanah air.


TMJ pada masa sama turut berkata apa yang baginda pernah suarakan mengenai bola sepak tanah air sebelum ini sering dipandang remeh, namun perkara itu semuanya berlaku pada ketika ini.

“Banyak benda saya cakap bola sepak tanah air sebelum ini tapi sering dipandang remeh, tapi hari ni baru terhegeh-hegeh benda semua berlaku, padang, padang latihan, nilai komersial dan seterusnya.

Tetapi ialah orang yang membenci ni apa benda baik kita buat pun mereka akan sentiasa pandang benda itu dari sudut negatif, tapi benda itu adalah normal.”

Dalam pada itu, baginda dalam video sama turut meluahkan rasa bersyukurnya apabila JDT berjaya memulakan kempen saingan Liga Super dengan langkah kanan apabila berjaya menang dalam ketujuh-tujuh perlawanan pertama sekaligus meletakkan mereka berada di puncak liga.

Baginda bagaimanapun belum berpuas hati kerana merasakan masih banyak perkara yang boleh diperbaiki.

“Alhamdulillah, tapi tak begitu berpuas hati sangat kerana kami ingin memperbaiki banyak lagi perkara, cuma saya rasa perancangan yang kami merancang dengan jurulatih ke Dubai dan membuat persiapan melawan pasukan-pasukan lebih hebat dari kami adalah keputusan yang tepat.

Bagi saya persiapan adalah kunci kejayaan. Jadi saya tak sangka kami akan jaringkan 30 gol dalam tujuh perlawanan dan menang tujuh perlawanan.”

Prestasi cemerlang itu dapat diterjemahkan apabila setiap pemain memberikan komitmen yang cukup tinggi dan mampu untuk menerapkan setiap perancangan yang telah direncanakan.

Oleh itu, baginda berharap agar setiap pemain dapat terus konsisten sepanjang musim ini.