Zamsaham jadikan TMJ ‘sifu’ dalam pengurusan kelab bola sepak, namun situasi Kelantan dan JDT ibarat langit dan bumi

635

Kemelut pasukan Kelantan FC terus menjadi bualan hangat apabila semakin hari semakin banyak bukti-bukti yang dikeluarkan oleh Leo Jeong yang merupakan ejen kepada jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik.

Leo Jeong telah mendedahkan mengenai apa yang berlaku ketika jurulatih itu menjadi pengendali pasukan Kelantan di laman Instagram beliau.


Walau bagaimanapun, pemilik pasukan Kelantan, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham tidak berminat untuk melayan apa yang telah diperkatakan oleh ejen tersebut, malah berkongsi nasihat yang pernah diberikan oleh TMJ kepadanya dalam membangunkan sesebuah pasukan.

Namun persoalannya, jika beliau benar-benar mengikuti nasihat yang diberikan, mengapa pasukan di bawah jagaannya itu kini sedang berada dalam situasi yang tidak stabil dengan kemelut yang dihadapi ketika ini.

Ia seperti tiada tindakan yang diambil bagi memastikan pasukannya itu sentiasa berada dalam keadaan yang stabil seperti pasukan JDT yang tidak mempunyai sebarang permasalahan dalaman.

Sebagai pemilik Kelantan, beliau sepatutnya menjelaskan dengan lebih terperinci berkaitan isu ini supaya tiada perselisihan faham antara penyokong dan pihak pengurusan.

Beliau juga sepatutnya membuktikan segala tuduhan yang dilontarkan oleh ejen Korea tersebut adalah tidak benar sama sekali dan bercanggah dengan realiti sebenar.

Jika membiarkan ‘serangan’ terus dilakukan oleh ejen daripada Korea Selatan itu, orang ramai mungkin lebih percaya akan dakwaannya dan menganggap Kelantan berada di pihak yang jahat.

Buat masa ini, kebenaran masih lagi tidak diketahui dan adalah lebih baik sekiranya pihak pengurusan Kelantan mengambil tindakan lanjut sekiranya dakwaan itu tidak benar.

Perkara ini perlu dilihat dengan serius oleh pengurusan Kelantan supaya tiada apa-apa tindakan yang akan merugikan pasukan sehingga menjejaskan prestasi dan nama baik pasukan.

Permasalahan ini juga bakal dibawa ke FIFA di mana Leo Jeong telah mengatakan bahawa beliau sedang mempersiapkan dokumentasi untuk dihantar dan diambil tindakan oleh badan induk itu.

Pastinya perkara ini bukanlah sesuatu yang baik dan diharapkan agar tiada apa-apa kesan buruk akan dikenakan kepada Kelantan yang sebelum ini juga pernah diberikan tindakan oleh FIFA atas permasalahan tunggakan gaji oleh pengurusan sebelum ini.