Jawatankuasa Tatatertib FAM akan ambil tindakan terhadap insiden bakar suar dalam stadium – Hamidin Amin

1,556

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin memberitahu Jawatankuasa Tatatertib FAM akan mengambil tindakan terhadap insiden bakar suar dalam stadium yang berlaku baru-baru ini.

“Saya nampak insiden di Johor dan bahagian perundangan (Jawatankuasa Tatatertib) akan hantar surat tunjuk sebab dalam masa terdekat ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Insiden bakar suar dalam stadium kembali menjadi perhatian selepas penyokong tuan rumah Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menyalakan suar selepas tamat perlawanan Liga Super menentang Sabah FC baru-baru ini.


Membakar suar adalah satu kesalahan dan melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Jika sabit kesalahan, kelab yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda puluhan ribu ringgit.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengulas mengenai ranking pasukan kebangsaan Malaysia yang kini naik ke tangga 138 di mana beliau berkata ia adalah hasil daripada kerjasama banyak pihak.

“Saya kira kejayaan untuk duduki tangga 138 atas inisiatif banyak pihak seperti MFL (Malaysian Football League), penyokong dan ramai lagi dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak tanah air.

Biar pasukan kita naik ranking naik perlahan-lahan tapi tidak akan jatuh kerana saya lihat balik setelah buat kajian FIFA ranking sebelum ini kalau kita lihat dari tahun 2003 hingga 2018 kita mengalami banyak kekalahan, jadi ranking kita merudum sehingga ke tangga 178.”

Bagi memastikan ranking skaud Harimau Malaya terus meningkat, beliau bersama ketua jurulatih Kim Pan-gon dan pengarah teknikal akan mengatur strategi terbaik termasuk pemilihan pasukan yang akan dilawan oleh skuad negara bagi memastikan dapat memperbaiki ranking termasuk mendapat perlawanan berkualiti.

Hamidin juga berkata Roadmap F:30 juga berada di landasan tepat dengan fasa tahun 2023 hingga 2026 ini perancangan mereka adalah untuk pergi ke taraf Asia.