Saya rasa fasiliti di Kelantan FC ‘okay’ saja, mungkin jurulatih lain yang tak mahu gunakan – Frank Bernhardt

1,386

Ketua jurulatih Kelantan FC, Frank Bernhardt mengakui beliau tidak membaca apa-apa isu yang melanda kelab itu yang heboh diperkatakan di media sosial ketika ini.

Baginya, tiada masalah yang beliau rasakan sejak tiba ke kelab itu sebagai pengarah teknikal bulan lalu, menggantikan Nasir Yusuf.


“Apa yang boleh saya katakan adalah sebelum ini saya tak baca apa-apa tentang pasukan, ini adalah kali pertama saya di Kota Bharu dan saya suka di sini.

Saya lihat segala fasiliti adalah baik dan tiada masalah untuk saya lakukan persediaan, ada sesi video dan sebagainya, mungkin jurulatih lain tak guna atau tidak mahu guna,”

katanya.

Bernhardt mengakui mempunyai kesuntukan masa untuk melakukan persiapan bagi perlawanan menentang Selangor FC kerana hanya mempunyai tiga hari sahaja.

Beliau juga berkata bahawa dirinya langsung tidak menjangkakan bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik dipecat setelah beberapa minggu beliau menjadi pengarah teknikal.

“Saya memang langsung tak jangka akan jadi ketua jurulatih kerana saya tiba di sini sebagai pengarah teknikal.

Saya ada pengalaman yang sekejap dengan bekas ketua jurulatih sebelum ini, beberapa kali mesyuarat bersama, saya ada beri komen serta idea, kadang-kadang mereka terima dan kadang-kadang tidak.”

Beliau merasakan bahawa pemain harus meningkatkan kecergasan dan fizikal untuk bermain dengan lebih baik selepas ini.

Tambahnya, sasaran realistik untuk pasukan Kelantan adalah terus kekal dalam Liga Super dan pergi sejauh mungkin dalam saingan piala.