Zamsaham boleh jual Kelantan FC, tapi belum tentu MFL akan keluarkan lesen

7,102

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan pemilik kelab Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman boleh menjual kelabnya kepada pihak yang berminat untuk mengambil alih kelab tersebut.

Stuart bagaimanapun berkata pihak MFL akan melibatkan diri dalam proses pengambil alihan kelab.


“Sudah pasti, tahun lalu dua pengambilalihan pasukan kita tidak luluskan selepas due diligence yang kita buat. Pengambilalihan pasukan sekarang MFL akan melibatkan diri dalam proses pengambilalihan pasukan supaya ia lebih sistematik, bukan sahaja pemilik boleh jual tanpa penglibatan MFL.

Ini adalah bagi membolehkan MFL melakukan due diligence ke atas pembeli baru sebelum apa-apa pembelian atau penjualan boleh berlaku.

Saya bagi contoh lesen diberi kepada pasukan A, kalau individu membeli lesen dan mahu mengubah semua memang tidak boleh kerana ini bukan liga jual lesen,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham meluahkan kesediaannya untuk menjual kelabnya kepada pihak yang berminat selepas terpalit dengan isu ‘merehatkan’ ketua jurulatih Choi Moon-sik dan tunggakan gaji.

Dalam pada itu, Stuart berkata spekulasi penjualan The Red Warriors masih terlalu awal dan beliau dijadual akan mengadakan satu pertemuan dengan Zamsaham pada malam ini bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai apa yang berlaku kepada kelab itu ketika ini.

“Pada masa ini tiada maklumat mengenai hasrat beliau, saya tidak boleh membuat komen yang tiada fakta. Tapi selepas saya berbincang dengan beliau, saya akan tahu perancangan beliau.

Saya akan berjumpa dengan beliau malam ini juga, tapi perbincangan bukan sekadar penjualan pasukan kerana ia adalah isu baru tapi lebih kepada apa yang terjadi beberapa minggu ini dengan tersebarnya isu-isu dalaman pasukan.

Sebagai CEO liga, saya perlu bertindak dengan proaktif untuk pastikan perbincangan lanjut di antara liga dan kelab boleh dilaksanakan dan bukannya baca info viral di sosial media untuk diambil sebagai maklumat sebenar.”

Kemelut yang berlaku di Kelatan telah mencetuskan kebimbangan peminat-peminat kerana sebelum ini Zamsaham dianggap sebagai wira apabila beliau telah menyelamatkan kelab itu dari terkubur selepas mengalami masalah kewangan yang teruk.

Malah sehingga kini Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih lagi berhutang RM3.8 juta dengan Zamsaham dengan perkara itu kini berlanjutan sehingga menjadi kes mahkamah.