Dah ada SSI yang berkelas dunia tetapi JDT tetap tak lupakan Stadium Larkin, terus lakukan proses tambah baik

4,055

Stadium milik Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos atau lebih dikenali sebagai Stadium Larkin kini dilaporkan sedang melalui proses baik pulih.

Walaupun kini JDT mempunyai stadium utama yang jauh lebih hebat iaitu Stadium Sultan Ibrahim, usaha untuk meningkatkan tahap kualiti Stadium tetap tidak dilupakan oleh pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Baginda sentiasa memastikan kelab itu terus maju ke hadapan, lebih-lebih lagi dari segi fasiliti supaya para pemain dapat bermain di tahap tertinggi.

Ia berbeza dengan kebanyakan kelab di Malaysia yang masih tidak mampu menyediakan fasiliti asas untuk pasukan mereka.

Perkara inilah yang membuatkan JDT berada di kelas tersendiri kerana sering melihat ruang untuk memperbaiki diri.

Baru-baru ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada menawarkan tajaan untuk menukar rumput stadium kepada Zeon Zoysia atau rumput jenis lain, tetapi hanya dua negeri sahaja yang menunjukkan minat iaitu Perak dan Kedah.

Sepatutnya, peluang yang jarang tiba seperti ini perlu dimanfaatkan oleh kelab dan berbincang dengan pihak pengurusan stadium supaya kualiti padang di stadium masing-masing lebih baik.

Bermain di permukaan rumput yang baik pastinya memberi manfaat buat pasukan dan boleh meningkatkan lagi tahap permainan.

Ia juga boleh memberikan penyokong pengalaman menonton perlawanan bola sepak yang baik tanpa sebarang gangguan melibatkan kualiti padang.

Pastinya penyokong akan lebih tertarik untuk hadir ke stadium apabila kualiti padang lebih baik, kerana mereka sedar wang yang dibelanjakan adalah berbaloi.

Apa yang dilakukan oleh JDT dalam meningkatkan kualiti stadium mereka, walaupun bukan yang utama, harus menjadi ikutan buat pasukan lain.

Kejayaan mereka mendominasi bola sepak tempatan sudah menjadi bukti ia berbaloi, dan tahap bola sepak Malaysia pastinya akan semakin meningkat jika semua kelab melakukan perkara yang sama.