Sudah tiba masa Ebenezer Assifuah diberi peluang untuk beraksi di Liga Super?

525

Walaupun negara kini dalam bulan Ramadhan, saingan Liga Super dan Piala MFL masih lagi berjalan dengan rancak sekali.

Pasukan Kedah Darul Aman FC B (KDA B) beraksi dalam Kumpulan A Piala MFL dengan berada di kedudukan keempat selepas lima perlawanan hasil tiga kemenangan dan dua kekalahan.


Bagaimanapun disebalik prestasi baik yang dipamerkan skuad Sang Kenari B, nama pemain import pasukan itu iaitu Ebenezer Assifuah menjadi perhatian ramai peminat.

Ini kerana Assifuah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang setakat ini apabila sudah pun menjaringkan empat gol dalam lima perlwanan dan menjadi penjaring terbanyak Kumpulan A ketika ini.

Pemain berusia 29 tahun berasal dari Ghana itu dilihat mempunyai potensi yang cukup besar untuk diserap ke dalam skuad utama dibawah kendalian Nafuzi Zain yang beraksi di Liga Super.

Umum mengetahui penyerang utama KDA iaitu Willian Lira kini berdepan tekanan daripada peminat yang kurang berpuas hati dengan aksi pemain itu yang hanya berjaya menjaringkan tiga gol dalam lapan perlawanan.

Namun Nafuzi masih belum panik kerana percaya dengan kemampuan Lira untuk terus meledak dan beliau mempunyai seorang lagi penyerang Jonathan Balotelli yang bertindak sebagai ‘super sub’.

Walaupun Balotelli sering dimasukkan pada penghujung babak kedua, namun kemasukan beliau sentiasa memberi impak yang cukup besar untuk pasukan.

Mungkin Nafuzi boleh menggunakan khidmat Assifuah sebagai penyerang tambahan yang mana ia dapat memberi lebih pilihan kepadanya sekiranya Lira tidak dapat mempamerkan aksi terbaik.

Tidak mustahil Assifuah mampu menyerlah bersama skuad utama KDA kerana semua sedia maklum Nafuzi mempunyai kelebihan dalam menyerlahkan lagi potensi seseorang pemain.

Antara pemain terbaik yang boleh dijadikan contoh adalah pemain Terengganu FC iaitu Jordan Mintah yang kini menjadi penggempur utama pasukan itu untuk saingan musim ini.

Bagi yang mengikuti perkembangan Mintah, beliau bermula bersama pasukan Terengganu FC II yang mana beliau mempamerkan aksi yang menyerlah dan berjaya menjadi penjaring terbanyak di Liga Perdana.

Mintah terus kekal di Kuala Terengganu walaupun mendapat beberapa tawaran dari kelab Liga Super pada musim lalu kerana mahu mengejar impiannya bermain untuk skuad utama Sang Penyu.

Sabar dan sentiasa tidak putus asa menjadi kunci utama Mintah apabila akhirnya untuk musim 2023 beliau telah mendapat kepercayaan ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner dan beliau tidak mengecewakan apabila telah menjaringkan empat gol dari lima penampilannya.

Mungkinkah Assifuah juga mampu menjadi penyerang berbisa sekiranya diberi peluang oleh Nafuzi? Sama-sama kita tunggu dan lihat samada beliau akan mendapat peluang diserapkan ke skuad utama atau tidak.