China gantung tujuh kelab daripada saingan liga atas masalah gaji, Malaysia pula ‘murah hati’ beri peluang kedua

1,966

Persatuan Bola Sepak China (CFA) telah menggantung tujuh pasukan bola sepak di negara itu yang terlibat dengan masalah gaji daripada menyertai saingan liga musim depan.

Tiga daripada tujuh kelab tersebut bermain di Chinese Super League (CSL) musim lalu iaitu Wuhan Yangtze, Hebei FC dan Guangzhou City, manakala empat lagi bermain di League One iaitu Shaanxi Chang’an Athletic, Beijing BSU, Zibo Cuju dan Xinjiang Tianshan Leopard.


Pada 15 Februari lalu, CFA telah memberi tempoh sebulan kepada kelab-kelab berkenaan untuk menyelesaikan tunggakan gaji tersebut dan menegaskan bahawa mereka akan hilang kelayakan untuk menyertai saingan liga.

Tindakan menggantung kesemua kelab itu menunjukkan ketegasan persatuan itu dalam memastikan perkara itu tidak menjadi barah dalam bola sepak China, selain menjadi pengajaran buat kelab-kelab lain.

Walaupun ada kelab yang mempunyai reputasi yang tinggi dan pernah beraksi dalam saingan AFC Champions League, CFA tidak berkprompomi dan tegas terhadap keputusan mereka.

Berbeza dengan situasi di Malaysia di mana kelab-kelab yang mempunyai masalah tuggakan gaji tetap dibenarkan untuk menyertai saingan liga.

Ambil contoh apa yang berlaku kepada Melaka United dan Sarawak United yang walaupun tidak dibenarkan untuk menyertai saingan Liga Super, mereka tetap diberi peluang untuk bersaing dalam Liga M3.

Bukan itu sahaja, mereka juga diberi kebenaran untuk mendaftarkan pemain-pemain baharu pada musim ini.

Apa yang menyedihkan adalah, sehingga ke hari ini, tunggakan gaji yang melibatkan kedua-dua kelab itu masih belum selesai sedangkan pasukan itu masih bersaing dalam liga.

Sepatutnya, hukuman yang lebih tegas juga patut dilaksanakan di Malaysia kerana isu tunggakan gaji sudah banyak kali berlaku.

Denda yang tidak seberapa hanya akan membuatkan pasukan-pasukan tidak memandang serius isu ini dan tidak takut jika mereka tidak membayar gaji.

Sarawak United baru sahaja diarahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk membayar bekas pemain importnya, Uche Agba sebanyak RM200,000 dalam tempoh 45 hari kerana gagal mematuhi kontrak pembayaran gaji.

Jika tidak, kelab itu akan dikenakan larangan perpindahan pemain selama tiga jendela.

Sebelum ini, kes melibatkan kelab itu juga pernah dibawa ke FIFA, dan ini sedikit sebanyak mencemarkan reputasi Liga Malaysia di mata badan induk itu.

Tambahan pula, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kini telah memegang jawatan sebagai Ahli Majlis FIFA, ia boleh menjejaskan nama baik beliau.

Justeru, pengurusan kelab haruslah bertanggungjawab dalam memastikan kes tersebut diselesaikan dengan segera.