Terlepas peluang kelab dari Malaysia untuk dapatkan khidmat Nguyen Quang Hai

638

Tinggal kira-kira dua bulan lebih lagi jendela perpindahan kedua Liga Super akan dibuka dan pastinya banyak kelab yang sudah mempunyai perancangan untuk menambah atau menukar pemain berdasarkan prestasi sepanjang pusingan pertama liga.

Antara pemain yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah pemain kebangsaan Vietnam iaitu Nguyen Quang Hai yang kini dikatakan bakal pulang bermain di Asia Tenggara selepas tidak dapat menyesuaikan diri dengan pasukan Pau FC di Ligue 2.


Sepanjang beliau beraksi di Perancis, Quang Hai hanya sempat membuat 13 penampilan di semua kejohanan skuad utama sebelum diturunkan ke pasukan kedua Pau FC B.

Susulan itu, ejen kepada pemain itu iaitu Michele Donato Fersini memberitahu bahawa Quang Hai kini sedang menunggu tawaran daripada kelab Thailand yang beraksi di Thai League 1.

Biarpun belum ada sebarang kelab yang menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu, namun dijangka beliau akan ke kelab-kelab besar seperti BG Pathum, Buriram United, Ratchaburi FC atau beberapa kelab besar lain.

Mungkin masih belum terlambat buat kelab-kelab di Liga Super Malaysia seperti Kedah Darul Aman FC, Sabah FC, Selangor FC atau Terengganu FC untuk cuba ‘cucuk jarum’ untuk dapatkan khidmat pemain ini.

Ia pasti akan menjadi pembelian yang cukup berbaloi kerana Quang Hai sudah memahami bola sepak di Asia Tenggara, jadi sudah pasti mudah untuknya menyesuaikan diri.

Tambahan pula, pemain ini boleh memenuhi kuota pemain ASEAN dan paling utama bayaran gaji pemain itu pastinya lebih rendah berbanding pemain import dari Eropah dan Amerika Latin.

Walaupun khabar angin kuat mengatakan pemain itu akan ke Thailand, namun dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku, jadi sama-sama kita tunggu dan lihat destinasi baru Quang Hai nanti.