Cubaan lakukan penalti ‘ala-ala Barcelona’ oleh bekas pemain JDT, Fernando Rodriguez turut gagal

2,090

Nampaknya bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Fernando Rodriguez nyata masih sayangkan kelab lamanya walaupun kini beliau merupakan pemain kelab Persis Solo yang beraksi di Liga 1 Indonesia.

Dalam satu perlawanan liga membabitkan Persis Solo menentang Persik Kendiri, Rodriguez menjadi perhatian apabila beliau dan rakan sepasukan cuba menyempurnakan sepakan penalty ‘ala-ala Barcelona’ sama seperti yang dilakukan oleh JDT baru-baru ini.


Malangnya, sepakan penalti tersebut menerima nasib yang sama seperti JDT apabila mereka gagal menjaringkan gol dan untuk Rodriguez, sepakan beliau tersasar di tepi tiang gol lawan.

Sepakan penalti itu pada mulanya diambil oleh rakan sepasukan Alexis Messidoro, tetapi pemain itu tidak terus merembat ke gawang sebaliknya melorongkan bola ke sebelah kiri di mana Rodriguez dengan pantas meluru untuk melakukan percubaan.

Persis Solo bernasib baik apabila mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol kemenangan di saat-saat akhir untuk membolehkan mereka mengutip tiga mata penuh sekaligus mengelak dimalukan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Insiden sepakan penalti sama berlaku seminggu selepas JDT melakukan perkara sama dengan Fernando Forestieri melorongkan bola kepada Arif Aiman yang berjaya menjaringkan gol tetapi gol dibatalkan kerana ofsaid.

Walaupun tidak dapat dipastikan samada Rodriguez dan rakan sepasukan cuba meniru aksi yang dilakukan oleh bekas rakan sepasukan beliau, namun apa yang berlaku memberi gambaran seperti pemain itu masih ‘sayangkan’ bekas kelabnya yang beraksi di Liga Super.

Malah hubungan Rodriguez dengan pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris juga akrab di media sosial apabila pemain dari Sepanyol itu kerap kali memberi komen dalam posting TMJ.

Pada tahun lalu, Persis Solo turut mengatur perlawanan persahabatan menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Mungkinkah kita akan melihat Rodriguez kembali ke bersama JDT satu hari nanti?