Liga semakin rancak, pada masa sama turut membosankan dan sudah hilang seri

600

Liga Super untuk musim 2023 merupakan saingan yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat bola sepak tanah air berikutan penstrukturan liga yang dilakukan oleh pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL).

Berdasarkan perancangan MFL, penstrukturan liga untuk musim 2023 ini akan membabitkan Liga Super di mana mereka mahu menambah jumlah pasukan dari 12 kepada 18 pasukan dan untuk merealisasikan rancangan itu, saingan Liga Perdana akan dimansuhkan buat seketika waktu.


Pada musim lalu, saingan Liga Perdana mempunyai sebanyak 10 pasukan dan dilihat tidak mempunyai nilai komersial dan tidak kompetitif kerana tiga pasukan adalah pasukan feeder iaitu Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Terengganu FC II (TFC II) dan Selangor FC II (SFC II).

Rancangan untuk menunda saingan Liga Perdana dilakukan bagi membolehkan sebanyak enam pasukan diserap masuk ke saingan Liga Super dengan objektif utama untuk meningkatkan tahap kompetitif liga.

Penstrukturan liga itu turut menyaksikan MFL memperkenalkan saingan Liga Simpanan atau lebih dikenali sebagai Piala MFL di mana ia khusus untuk pemain B-23 bagi membolehkan pemain-pemain mendapat minit permainan dan bersedia untuk diserap masuk ke skuad utama pada bila-bila masa.

Apa yang membezakan liga Piala MFL dan Piala Presiden serta Piala Belia adalah pasukan yang beraksi di Piala MFL boleh menggunakan tiga pemain lebih usia atau pemain import dalam setiap perlawanan.

Jika dilihat secara kasarnya, perancangan MFL ini disambut baik oleh ramai, malangnya rancangan MFL yang mahu 18 pasukan beraksi di Liga Super tidak kesampaian apabila beberapa pasukan tidak dapat meneruskan saingan untuk musim 2023.

Antaranya Melaka United FC dan Sarawak United FC yang dibelenggu masalah tunggakan gaji telah menyebabkan permohonan Lesen Kebangsaan mereka tidak diluluskan oleh MFL.

Manakala PJ City FC dan UiTM FC pula mengambil keputusan untuk tarik diri walaupun sudah mendapat lesen atas alasan saingan Liga Super tidak sejajar dengan visi masa depan kelab masing-masing.

Suka atau tidak saingan liga terpaksa diteruskan dengan akhirnya MFL mengumumkan sebanyak 14 pasukan sah akan bersaing bagi merebut gelaran juara Liga Super.

Dengan penswastaan kelab oleh MFL, banyak pasukan memulakan transisi ke arah tersebut dan berjaya melakukannya walaupun berdepan pelbagai masalah.

Rata-rata peminat nyata teruja dengan perkembangan bola sepak tanah air apabila majoritinya sudah mempunyai pemilik sendiri biarpun ada yang masih menerima dana daripada kerajaan negeri.

Untuk memastikan kesemua pasukan diswastakan sepenuhnya memerlukan masa kerana pelbagai perkara perlu diambil kira bagi memastikan transisi tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar.

Dengan saingan Liga Super ke arah profesional, saingan liga kembali menjadi rancak dengan persiapan pasukan bagi mengharungi musim yang cukup padat pada musim ini.

Namun selepas lapan perlawanan Liga Super, nampaknya saingan liga tampaknya sudah hilang serinya apabila peminat majoritinya sudah merasakan saingan liga sudah pun tamat dan juara bertahan JDT dijangka akan menjulang trofi tersebut buat kali ke-10 berturut-turut walaupun pusingan pertama belum selesai.

Tidak dapat dinafikan, JDT berada di kelasnya tersendiri dan boleh dikatakan sudah maju lima hingga 10 tahun daripada pasukan lawan.

Untuk musim 2023, mereka telah membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya menang kesemua lapan perlawanan dan paling menakjubkan adalah jumlah jaringan yang besar dijaringkan dalam setiap perlawanan.

Mereka kini sudah menjaringkan sebanyak 30 gol dan hanya bolos satu gol telah membuktikan tiada pasukan dalam negara yang mampu memberi saingan kepada mereka.

Walaupun pada mulanya beberapa pasukan seperti Sabah FC, Terengganu FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC dijangka akan menjadi pencabar utama, tapi semuanya meleset apabila keempat-empat pasukan ini tewas dengan jumlah jaringan yang besar kepada JDT.

Realitinya saingan Liga Super untuk musim 2023 sudah ‘game over’! Dengan prestasi semasa JDT pamerkan ketika ini tiada pasukan lain mampu menggugat kedudukan mereka sebagai pendahulu liga.

Perkara ini tidak mengejutkan ramai kerana semua sedia maklum bahawa JDT adalah sebuah kelab yang terkaya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia Tenggara dan juga Asia.

Malah JDT juga dalam kenyataan mereka memberitahu bahawa fokus mereka kini adalah pada kejohanan AFC Champions League (ACL) kerana saingan tersebut sangat kompetitif dengan pasukan-pasukan besar dari Asia merebut gelaran sebagai Raja Asia.

Oleh sebab itu peminat dapat melihat apa yang dilakukan oleh JDT ketika ini adalah untuk menjadi yang terbaik supaya mereka dapat beri saingan di peringkat Asia dan bukannya di Liga Super kerana mereka sudah mendominasi sepenuhnya liga domestik.

Dengan bajet yang cukup besar berkali ganda dari pasukan lawan, maka tidak hairan mereka mampu membina sebuah pasukan yang cukup ampuh dengan dibarisi ramai pemain kebangsaan dan juga pemain import berkualiti.

Melihat kepada situasi semasa, peminat sudah tidak lagi peduli dengan kedudukan pertama di liga kerana sudah tahu pasukan mana yang akan menjulang trofi Liga Super pada musim ini, sebaliknya sejak beberapa musim ini peminat lebih teruja untuk melihat pasukan mana yang akan berada di kedudukan kedua dan ketiga liga.

Ini kerana pasukan yang berjaya memperoleh kedudukan kedua akan layak secara automatik ke Piala AFC, manakala juara Piala FA/Piala Malaysia/tempat ke-3 Liga Super turut akan layak ke Piala AFC.

Melihat kepada kedudukan sekarang ni beberapa pasukan seperti Sabah, Kedah, Selangor dan Terengganu antara yang berpeluang untuk merebut slot ke pentas Asia pada musim hadapan jika mereka terus konsisten.

Walaupun KL City FC pada musim ini tampak sedikit goyah dengan prestasi tenggelam-timbul, namun tiada siapa boleh menafikan kemampuan mereka kerana mereka adalah naib juara Piala AFC 2022.

Apa pun yang berlaku, peminat bola sepak tanah air perlu menanam semangat yang tinggi dan terus memberi sokongan padu buat liga tempatan kerana tanpa peminat, liga boleh lumpuh dek tiada penaja yang mahu menaja pasukan dan liga.

Oleh itu, bosan macam mana sekalipun diharap peminat akan terus memberi sokongan kepada pasukan masing-masing sambil berharap agar satu hari Liga Super Malaysia akan menjadi salah satu liga bola sepak terbaik di Asia.