Anak jati Kelantan boleh bincang cara selesaikan kemelut Kelantan FC

865

Kira-kira seminggu lagi Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma, pastinya semua umat Islam yang berada di perantauan sedang merancang untuk pulang menyambut bersama keluarga mereka.

Tidak dilupakan juga buat pemain-pemain bola sepak tempatan yang ramai berhijrah daripada kampung masing-masing untuk bermain dengan kelab di luar negeri.


Tahun lalu, Arif Aiman mencuri tumpuan apabila berkongsi gambarnya merayakan Aidilfitri di negeri kelahiran, Kelantan.

Musim ini, mungkin juga pemain itu bakal pulang sekali lagi untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Selain Arif, ramai lagi pemain berbakat lain yang berasal dari Kelantan seperti Khairul Fahmi (Sabah FC), Syihan Hazmi (JDT), Azri Ghani (KL City FC), Kalamullah Al-Hafiz (Kedah Darul Aman FC) dan lain-lain.

Sejak kebelakangan ini, nama pasukan Kelantan FC seringkali menjadi bualan di bibir peminat bola sepak tempatan gara-gara isu melibatkan kelab itu dan ejen dari Korea Selatan, Leo Jeong.

Selepas kedua-dua pihak berbalas ‘serangan’ di media sosial, kini kedua-duanya bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap satu sama lain.

Setakat ini, masih belum pasti siapakah yang berada di pihak yang benar, dan sudah tentu ia akan memakan masa.

Walaupun sudah berpindah ke pasukan luar Kelantan, pastinya hati pemain-pemain yang berasal dari negeri itu masih lagi sayang akan negeri kelahiran mereka, lebih-lebih lagi yang pernah mewakili Kelantan pada awal karier mereka.

Jauh di sudut hati mereka pasti terdetik untuk melihat Kelantan bangkit dari segala kemelut yang berlaku ketika ini dan menjadi pasukan yang kembali disegani.

Ketika hari raya nanti mungkin mereka boleh mengambil peluang untuk berjumpa dan membincangkan mengenai kemelut yang menimpa Kelantan ketika ini.

Dengan pengalaman yang mereka ada, mungkin ada idea yang baik untuk diutarakan dalam membantu pasukan itu.

Apa-apa pun, diharapkan segala kemelut yang melanda Kelantan dapat diselesaikan dengan segera dengan baik supaya ia tidak memberi kesan kepada para pemain.