Cadangan JDT sertai J League atau K League ada asasnya, Liga Super umpama tiada cabaran buat Harimau Selatan

3,803

Selepas berjaya menjuarai Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat semakin sukar untuk dihentikan pada musim ini.

Walaupun saingan Liga Super baru sahaja berlangsung sebanyak lapan perlawanan, JDT dilihat tiada masalah untuk ditabalkan sebagai juara sekali lagi pada musim ini.


Mereka telah menunjukkan dominasi yang amat cemerlang mencatatkan kemenangan dalam semua perlawanan, dengan menjaringkan 36 gol dalam lapan perlawanan tersebut dan hanya bolos satu.

Di saat JDT menunjukkan peningkatan yang amat dahsyat, pasukan lain pula dilihat perlahan dalam mengejar kemajuan yang dilakar JDT.

Buktinya adalah pada saingan Liga Super musim ini di mana tiada satu pasukan pun yang dilihat mampu memberi saingan yang sengit buat JDT.

Memetik laporan Utusan Malaysia, legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan turut berpendapat sedemikian dan menganggap JDT patut bertanding di liga luar negara yang lebih baik seperti K League atau J League.

Apa yang dikatakan oleh beliau ada benarnya kerana sudah jelas tahap JDT sekarang sudah sebaris dengan pasukan-pasukan terbaik di Asia.

Jika dilihat berdasarkan prestasi JDT dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim lalu menundukkan juara K League dan J League iaitu Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale, mereka boleh memberi saingan yang hebat kepada pasukan dalam liga tersebut.

Tetapi saingan liga memerlukan konsistensi kerana berdepan pasukan yang hebat setiap minggu dan mungkin itu yang masih belum boleh dibuktikan oleh JDT.

Selepas mempamerkan aksi mantap di peringkat kumpulan ACL, mereka dibelasah 5-0 oleh pasukan Urawa Red Diamonds yang menduduki tangga kesembilan dalam J League.

Itu menunjukkan bahawa pasukan yang berada di tangga bawah dalam saingan J League juga mempunyai kualiti yang hebat dan mampu menewaskan pasukan di tangga teratas.

Namun untuk JDT menyertai K League atau J League nampak seperti tidak realistik memandangkan dari sudut geografi kedua-dua negara itu terletak jauh di Asia Timur.

Walaubagaimanapun ia tidak mustahil dan ada dilakukan dalam saingan liga lain seperti di Liga Singapura di mana kelab dari Jepun, Albirex Niigata dan kelab Brunei, Brunei DPMM turut bertanding di liga tersebut.

Malah, Liga Super juga pernah menyaksikan wakil dari Singapura, Lions XII turut serta pada tahun 2012 hingga 2015.

Namun, sepatutnya dominasi yang ditunjukkan oleh JDT itu dijadikan motivasi oleh pasukan lain untuk meningkatkan tahap mereka.

Jika semua pasukan mencontohi apa yang dilakukan oleh JDT, pastinya semua pasukan mampu berada di tahap yang sama dan saingan Liga Malaysia sendiri akan menjadi lebih sengit.