Sanusi lakukan ‘comeback’ dalam sukan, usahakan pelbagai inisiatif untuk negeri Kedah

203

Sejak kebelakangan ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat semakin aktif dalam bidang sukan dengan melakukan inisiatif tertentu untuk pelbagai jenis sukan.

Selepas mengumumkan mengenai bangunan milik Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Wisma KFA: House of Kedah Football baru-baru ini, Sanusi tampil mengumumkan bahawa Kedah akan melaksanakan program i-talent bagi mencungkil dan mencari bakat baharu atlet para daripada seluruh Kedah.


Beliau turut memberi sumbangan kepada atlet para yang berjaya mengharumkan nama negeri pada temasya Para SUKMA lalu.

Program yang akan dilaksanakan itu adalah satu inisiatif yang sangat baik kerana bukan sahaja dapat mencungkil bakat atlet para di Kedah, tetapi juga berpotensi untuk menjadi wakil negara satu hari nanti.

Selepas menyepi seketika daripada sukan, Sanusi nampaknya mula kembali aktif terlibat dalam program sukan.

Peminat bola sepak tempatan pastinya rindu akan kehadiran Sanusi yang memeriahkan arena bola sepak negara.

Beliau baru sahaja dilantik semula sebagai Presiden KFA untuk penggal 2022 hingga 2026 tempoh hari dan terus mengumumkan mengenai pemilikan bangunan untuk Wisma KFA.

Sudah pasti banyak lagi inisiatif yang akan dilakukan oleh beliau dalam bidang sukan terutamanya bola sepak selepas ini untuk meningkatkan tahap di negeri itu.

Ia diharapkan mampu memberi manfaat buat pasukan Kedah Darul Aman FC yang ketika ini masih lagi mencari rentak pada permulaan saingan Liga Malaysia musim ini.

Sebagai Presiden KFA, beliau boleh melakukan banyak perkara dan menyuarakan pendapatnya untuk kebaikan pasukan Kedah.

Beliau bukanlah asing dalam bola sepak Kedah dan pernah membantu pasukan itu mencatatkan kejayaan yang membanggakan.

Justeru, diharapkan inisiatif yang dilakukan sejak kebelakangan ini menandakan beliau akan melakukan ‘kemunculan semula’ dan memeriahkan lagi arena bola sukan tempatan khususnya bola sepak.