Piala FA adalah kejohanan yang kami mampu pergi jauh, 4 perlawanan lagi nak ke final – Brendan Gan

317

Ketua pasukan Selangor FC, Brendan Gan memuji rakan sepasukannya yang berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik pada perlawanan Pusingan 16 Piala FA malam tadi yang menyaksikan mereka berjaya menang 4-0 ke atas Sri Pahang FC.

“Saya tidak boleh katakana perlawanan malam ini mudah kerana Sri Pahang adalah sebuah pasukan yang sukar kerana mereka mempunyai pemain individu yang cukup baik. Cuma saya rasa kami turun pada perlawanan tadi dengan perancangan yang lebih baik dan tahu cara mereka bermain kerana sebelum ini kami pernah menentang mereka dalam perlawanan liga.

Jadi kami turun pada malam ini dengan misi untuk cuba meruntuhkan permainan mereka dan kita berjaya melakukannya kerana kita mempunyai pemain sayap yang mampu melakukannya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Brendan berkata, walaupun pasukannya masih belum sempurna ketika ini namun kesemua pemain kini perlahan-lahan semakin serasi dengan corak permainan dan taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.


“Kami masih belum berada di tahap yang dimahukan, tapi kami perlahan-lahan menuju ke arah di mana kami semakin selesa dengan masing-masing, selesa dengan taktikal dan corak permainan yang jurulatih mahu dan berharap kami dapat gunakan ini sebagai momentum untuk teruskan perbaiki pasukan.”

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pemain berusia 34 tahun ini turut berjaya menjaringkan gol keempat pada minit ke-71′ sekaligus melengkapkan malam gemilang buat skuad Gergasi Merah.

Susulan kemenangan ini, Selangor dijadualkan akan menentang Negeri Sembilan FC pada perlawanan suku akhir Piala FA selepas ini.

Dalam pada itu, beliau yang pernah menyarung jersi Perak FC sebelum ini terharu apabila mendapat tahu apabila peminat kelab itu masih merinduinya dan berharap pemain itu akan kembali ke Ipoh, Perak satu hari nanti.

“Ya ia sesuatu yang cukup baik kerana Perak adalah tempat yang istimewa buat saya di mana kami berjaya menang Piala Malaysia. Saya akan sentiasa mengingati memori indah di sana.

Tapi kini saya adalah pemain Selangor dan saya sangat gembira di sini dan mahu fokus pada kerja saya untuk bantu pasukan ini mengharungi musim ini.”