Dokumen sulit Selangor FC senang-senang didedahkan kepada umum, salah siapa?

5,144

Dunia bola sepak terus menjadi perhatian peminat di seluruh negara apabila terbaru dokumen sulit yang didakwa mengenai butiran kontrak pemain import Selangor FC telah tersebar di media sosial.

Tangkap layer dokumen tersebut telah memperlihatkan beberapa butiran mengenai kontrak pemain import termasuk jumlah gaji yang akan diterima oleh pemain tersebut termasuk elaun, bonus dan manfaat lain yang akan diterima oleh pemain tersebut.


Berdasarkan butiran dalam kontrak tersebut, pemain import itu akan menandatangani kontrak selama 1+1 (lanjutan kontrak berdasarkan prestasi) dan akan menerima gaji lebih RM132,000 (USD30,000) sebulan.

Selain itu, pemain tersebut juga berpeluang untuk menerima beberapa jenis bonus lain termasuk menjadi juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Pada masa sama, pemain tersebut turut akan mendapat elaun, kereta untuk digunakan sepanjang bersama kelab itu serta tiket penerbangan dari negaranya ke Malaysia.

Kontrak bertarikh 26 Januari itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor iaitu Dr. Johan Kamal.

Sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan rasmi oleh pengurusan rasmi Selangor mengenai perkara ini.

Jika dokumen yang tersebar ini adalah benar, ia adalah sesuatu perkara yang cukup serius dan pihak pengurusan Selangor perlu mengambil tindakan serius terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab membocorkan maklumat sulit seperti itu.

Persoalannya sekarang adalah: siapakah dalang disebalik pembocoran dokumen sulit ini? Adakah orang dalaman yang membocorkan dokumen ini? Secara logiknya jika benar pastinya itu kerja orang dalam kerana bagaimana orang luar boleh dapat dokumen sulit ini?

Jika dokumen itu tidak benar sekali pun, pihak pengurusan Selangor perlu juga ambil tindakan terhadap pihak yang memalsukan dokumen tersebut dengan tujuan untuk mencalarkan kredibiliti dan imej pasukan Merah Kuning.

Penyebaran dokumen sulit membabitkan kontrak pemain ini seperti sudah dirancang memandangkan ketika ini ramai yang sedang memperkatakan mengenai gaji pemain bola sepak di Liga Super.

Sementara itu, semalam pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris telah mengadakan satu sesi temubual eksklusif di mana baginda turut menyentuh mengenai isu gaji pemain.

Dalam kenyataan TMJ, baginda mendedahkan bahawa gaji pemain muda terbaiknya iaitu Arif Aiman tidak sampai RM25,000, manakala gaji penyerang import utamanya Bergson da Silva pula hanya sekitar RM1.3 juta (USD300,000) setahun.

TMJ juga mendedahkan bahawa ada sesetengah pemain tempatan di kelab lain dibayar gaji sehingga RM80,000 sebulan, manakala gaji pemain import pula lebih RM2.2 juta (USD500,000) setahun.

Sementara itu, pemain kebangsaan Faisal Halim turut meninggalkan komen terhadap di media sosial apabila ada gambar perbandingan mengenai gajinya yang didakwa berjumlah RM80,000 manakala gaji Arif Aiman pula RM25,000.

Faisal dalam ruangan komen dengan sinis membalas; “pandai2 je hahahahah 80k saya dah pakai kereta 500-600k dah”.