Duo Colombia yang kian tersisih, gandingan Radamel Falcao-James Rodriguez di Liga Super boleh jadi kenyataan

937

Peminat bola sepak dunia baru-baru ini dikejutkan dengan penamatan kontrak pemain tengah Colombia, James Rodriguez oleh kelab Greece, Olympiacos.

Sejak meninggalkan Real Madrid, karier pemenang kasut emas Piala Dunia 2014 itu dilihat semakin merudum, dan perkembangan terbaru ini menyaksikan beliau mungkin tidak mampu lagi mencapai tahap terbaiknya untuk terus bermain di peringkat tinggi Eropah.


Terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa beliau mungkin akan bergabung dengan rakan sepasukannya di Colombia iaitu Radamel Falcao.

Sebelum ini, bekas penyerang Manchester United itu pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Malaysia untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketika ini, Falcao mempunyai kontrak bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano namun pemain berusia 37 tahun itu hanya sering diturunkan selaku pemain simpanan.

Bagi JDT, mendapatkan pemain seperti Falcao bukanlah sesuatu yang sukar kerana reputasi yang dimiliki kelab itu, dan mereka juga pernah membawa bekas pemain daripada liga ternama dunia seperti Pablo Aimar, Fernando Forestieri, Jordi Amat dan lain-lain.

Sekiranya JDT mampu membawa Falcao ke Johor Bahru, mungkin ia boleh menjadi satu ‘domino effect’ untuk menarik Rodriguez ke Liga Malaysia juga.

Lagipun, sebelum bersama Olympiacos, Rodriguez pernah berkelana selama dua musim di Asia bersama kelab Qatar, Al-Rayyan.

Jadi beliau sudah masak dengan suasana bola sepak di Asia dan sekiranya tiada kelab di Eropah yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau, mungkin Liga Malaysia boleh menjadi destinasi seterusnya untuk beliau jika ada tawaran yang menarik.

Walaubagaimanapun, nilai gaji yang diminta mungkin akan menjadi penghalang buat kelab Malaysia untuk mendapatkannya kerana dengan reputasi yang dimilikinya, sudah tentu beliau mahukan gaji yang setimpal.