Zamsaham dapat sokongan moral daripada TMJ

747

Sejak beberapa minggu ini kelab pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menjadi perhatian ramai dalam dunia bola sepak tanah air berikutan kemelut yang dihadapinya dengan seorang ejen bola sepak dari Korea Selatan membabitkan bekas ketua jurulatih kelab itu.

Bukan itu sahaja, Kelantan juga terpalit dengan tunggakan gaji namun perkara itu dinafikan sendiri oleh Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham.


Terbaru, kelab itu telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak tiga pemain dengan lebih awal iaitu Cristian Rontini, Carli De Murga dan Shafiq Shahrudin.

Pasti ada hikmah disebalik musibah yang berlaku.

Disebalik apa yang sedang berlaku kepada Zamsaham, beliau telah mendapat sokongan moral daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang telah berkenan menghadiahkan dua ekor kuda sempena ulang tahun kelahirannya.

Zamsaham mendedahkan perkara itu di laman sosial Facebook miliknya sambil mengucapkan kesyukuran dan teruja dengan pemberian itu.

“Terima kasih TMJ kerana berkenan menghadiahkan dua ekor kuda sempena hari jadi saya. Saya sangat-sangat bersyukur, teruja dan terharu,” tulisnya.

Tambahnya lagi, TMJ pada awalnya mahu menghadiahkan tiga ekor namun beliau hanya mampu menerima dua ekor sahaja dan menyatakan baginda seorang yang cukup pemurah.

Apa yang menarik adalah dalam kenyataan Zamsaham beliau turut memberitahu pertemuan ringkas selama dua jam itu dikatakan sangat bermakna untuk kelabnya Kelantan FC sekaligus memberi gambaran bahawa pertemuan itu turut membincangkan mengenai perihal bola sepak.

Dengan hubungan baik antara kedua-dua pemilik kelab bola sepak ini tidak mustahil jika dalam masa terdekat ini JDT akan meminjamkan beberapa pemain mereka ke Kelantan.

Beberapa nama kini menjadi sebutan yang dilihat berkemungkinan besar akan dipinjamkan termasuk Ramadhan Saifullah, Mohamadou Sumareh dan mungkin beberapa lagi yang mana mereka ini kekurangan minit permainan.

Tidak mustahil juga TMJ akan membantu dari segi kewangan kerana semua sedia maklum dengan sikap pemurah baginda yang sering membantu kelab-kelab yang berdepan masalah kewangan.

Apa pun sama-sama kita tunggu perkembangan terbaru nanti mengenai pemain baru yang akan dibawa masuk oleh Kelantan untuk memperkuatkan pasukan selepas sambutan Aidilfitri nanti.