“Let’s see what you can actually do” – Misi balas dendam, PDRM laung cabaran buat JDT

965

Saingan Liga Super minggu kesembilan akan berlangsung pada hari ini dan esok sebelum memberi laluan kepada perayaan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini, kemudian bersambung minggu hadapan pula.

Antara perlawanan tumpuan bagi saingan minggu ini pastinya melibatkan pasukan PDRM FC dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan berlangsung esok di Stadium MBPJ.


Kedua-dua pasukan itu baru sahaja bertemu Jumaat lalu dalam saingan Piala FA yang menyaksikan JDT menang bergaya 3-0, seterusnya layak ke peringkat suku akhir.

Selepas tewas pada perlawanan tempoh hari, PDRM nampaknya bertekad mahu membalas dendam ke atas Harimau Selatan esok dan berharap permulaan baik mereka dalam Liga Super terus konsisten.

Baru-baru ini, media sosial PDRM mengeluarkan poster perlawanan menentang JDT dengan kapsyen “We meet again. Now, let’s see what you can actually do.

Umum mengetahui bahawa JDT sering menggunakan #whatcanyoudo dalam hantaran media sosialnya, justeru PDRM dilihat seakan-akan memberi cabaran kepada Harimau Selatan menjelang perlawanan esok.

Musim ini, PDRM melebihi jangkaan banyak pihak dalam saingan Liga Super setakat ini dengan menduduki tangga ketujuh liga, hasil daripada tiga kemenangan dan dua seri.

Walaupun berstatus ‘underdog’, PDRM berjaya melakukan beberapa kejutan seperti menewaskan Kedah Darul Aman FC di laman lawan.

Justeru, JDT sebenarnya tidak boleh memandang rendah keupayaan PDRM pada perlawanan esok, lebih-lebih lagi mereka mempunyai misi untuk membalas dendam dan akan bermain di gelanggang sendiri.

Namun di atas kertas pastinya JDT dilihat tidak mempunyai masalah untuk terus melakar kemenangan, dan melebarkan jumlah jaringan mereka dalam liga yang kini sudah mencecah 36 gol daripada lapan perlawanan.

Selain itu, ‘cabaran’ yang dilaungkan oleh PDRM itu pastinya membuatkan anak buah Esteban Solari semakin berkobar-kobar untuk menambah lagi luka buat PDRM yang telah tersingkir daripada saingan Piala FA.