Dakwaan MFL yang bocorkan gaji Selangor tak berfakta, kami tak simpan surat tawaran – Stuart Ramalingam

529

Ketua pegawai eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam menafikan sekeras-kerasnya kebocoran mengenai maklumat gaji pasukan Selangor FC adalah berpunca daripada pihaknya.

Beliau menegaskan bahawa MFL tidak menyimpan surat tawaran seperti yang tersebar di media sosial, tetapi hanya kontrak antara pemain dan kelab yang menjadi simpanan pihaknya.


“Saya mahu katakan yang MFL sebenarnya tidak akan respon mengenai dakwaan yang dilakukan di media sosial tetapi memandangkan soalan ini ditanya jadi saya perlu jelaskan.

MFL tidak simpan surat tawaran tetapi kontrak pemain dan kelab, jadi pihak yang mengatakan bahawa kebocoran maklumat ini datang daripada MFL adalah tidak berfakta dan tidak bertanggungjawab,”

katanya.

Beliau berkata, Selangor sendiri pastinya tahu bahawa kebocoran dokumen itu bukanlah datang daripada pihak MFL.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai jadual Selangor yang dikatakan memberi kelebihan kepada mereka apabila bermain empat daripada lima perlawanan di gelanggang sendiri.

“Kita tahu perlawanan Piala FA menentang Sri Pahang adalah berdasarkan undian manakala perlawanan menentang Kelantan pula adalah disebabkan pasukan Pantai Timur itu tidak boleh bermain di gelanggang sendiri pada Ramadan.

Maklumat ini sudah dikongsi kepada CEO pasukan jadi saya rasa saya tak boleh komen lebih lanjut lagi tentang perkara ini.”

Pada bulan Ramadan, Selangor menentang Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu untuk perlawanan Liga Super, serta menentang Sri Pahang untuk perlawanan Piala FA, kesemuanya di Stadium MBPJ.

Satu-satunya perlawanan di gelanggang lawan ketika Ramadan adalah perlawanan Liga Super menentang KL City FC.