‘Money talks’, PGA Tour bakal jalin kerjasama dengan LIV Golf

152

Tahun lalu adalah tahun yang agak kecoh dalam dunia sukan golf di Amerika Syarikat apabila kejohanan golf tertua PGA Tour berdepan masalah apabila muncul pesaing baru iaitu LIV Golf.

LIV Golf adalah sebuah kejohanan baru yang mana ia mendapat dana daripada Saudi Arabia Public Investment Fund iaitu sebuah entiti yang dikawal selia oleh Tunku Mahkota Saudi, Putera Mohammed bin Salman.


Kedua-dua pihak ini ketika itu berada dalam mod ‘perang’ apabila pihak LIV Golf mula memancing pemain-pemain terkemuka dunia untuk melepaskan PGA Tour Card untuk menyertai kejohanan golf terbaru itu yang menawarkan wang yang lebih besar berbanding kejohanan tradisional PGA Tour.

Selain format kejohanan juga berbeza di mana format LIV Golf adalah bermain sebanyak lapan 54 lubang tanpa penyingkiran dan final Team Championship akan berlangsung selama empat hari di mana mereka akan bermain dalam format kalah mati.

Manakala format PGA Tour pula adalah bermain 72 lubang selama empat hari dengan ada penyingkiran dari hari pertama kejohanan.

Kemelut antara kedua-dua entiti kejohanan itu semakin memuncak apabila Pesuruhjaya PGA Tour, Jay Monahan telah mengenakan peraturan baru yang mana pemain yang mahu berhijrah ke LIV Golf akan dilarang dari menyertai kejohanan anjuran PGA Tour.

Tawaran lumayan oleh LIV Golf membuatkan banyak bintang golf termasuk bekas juara major dan bekas pemain nombor satu dunia Dustin Johnson, Sergio Garcia, Martin Kaymer, Graeme McDowell, Louis Oosthuizen, Charl Schwartzel dan Lee Westwood.

Tidak lama kemudian, Phil Mickelson, Kevin Na, Henrik Stenson dan ramai lagi turut mengambil keputusan untuk berhijrah sekaligus membuatkan nilai komersial PGA Tour semakin menurun dek ramai pemain bintang sudah tidak lagi bermain di PGA Tour.

Bagaimanapun bintang terkenal seperti Tiger Wood dan Rory Mcilroy kekal bermain di PGA Tour dan menjadi individu terpenting kejohanan itu kerana kedua-dua pemain ini bertanggungjawab dalam cuba memujuk pemain lain untuk kekal dalam kejohanan itu.

Perseteruan antara kedua-dua entiti terus berlanjutan sehingga ia dibawa ke mahkamah dan kini dalam proses litigasi.

Bagaimanapun baru-baru ini, kedua-dua entiti itu sudah bersemuka dan sudah memulakan perbincangan untuk menjalin kerjasama, sekaligus akan menyaksikan proses perundangan antara kedua-dua pihak mungkin tidak akan diteruskan.

Kedua-dua entiti akan menandatangani perjanjian yang akan menyaksikan perniagaan komersial PGA Tour dan LIV Golf bergabung dan segala hak kepada syarikat berasaskan keuntungan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Perjanjian itu termasuk DP World Tour, yang juga dikenali sebagai PGA European Tour.

Kerjasama antara kedua-dua entiti ini menjadi bukti ‘money talks’ dan PGA Tour mengambil keputusan yang bijak untuk menjalin kerjasama dan bukannya terus bermusuhan kerana ia tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya akan menyebabkan industri golf yang bernilai berbilion terancam.

Dengan kerjasama ini juga, sukan golf dijangka akan menjadi lebih segar dan menarik lagi selain setiap pemain juga akan menerima bayaran yang lumayan dan ini akan menjadikan situasi ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, kita juga berharap agar pemain Malaysia dapat bermain dalam kejohanan ini satu hari nanti.