Kenapa masih tiada pasukan yang berani guna ‘blueprint’ PJ City FC yang sudah terbukti berkesan?

2,910

Selepas penstrukturan Liga Super untuk musim 2023, ramai yang menjangkakan singan liga akan menjadi lebih menarik dan kompetitif berikutan pertambahan jumlah pasukan dari 12 kepada 14 pasukan (walaupun pada awalnya 18 pasukan).

Tidak dapat dinafikan Liga Super membuka tirainya dengan cukup gah lagi dan pusingan pertama liga sudah pun melabuhkan tirai dan liga kini sedang berehat bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan Malaysia yang akan turun beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa untuk kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) bulan Jun.


Namun disebalik saingan liga yang rancak, ia turut dicemari dengan banyak isu sejak awal musim antaranya isu mutu pengadilan yang seperti tiada kesudahan dan isu tunggakan gaji beberapa pasukan.

Antara pasukan yang secara terang-terang berdepan masalah gaji adalah Kelantan FC yang mana telah menyaksikan beberapa pemain menamatkan kontrak mereka lebih awal.

Pada masa sama, beberapa bekas pemain Kelantan juga telah tampil untuk mendedahkan mengenai isu itu yang dikatakan sudah lama berlaku dan baru kini pemain berani untuk tampil bersuara.

Isu tunggakan gaji itu turut diakui oleh pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman yang mengakui kelab gagal melunaskan gaji pemain dengan memberi alasannya tersendiri.

Difahamkan ada lagi satu atau dua lagi pasukan yang dikhabarkan turut mengalami masalah tunggakan gaji walaupun belum ada sebarang pengesahan kelab mana yang berdepan isu itu.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam telah memberitahu bahawa sekurang-kurangnya dua kelab akan dikenakan sekatan pembelian pemain baru pada jendela perpindahan kedua pada Julai ini dek masalah gaji.

Melihat kepada situasi ini, faktor itu yang menyumbang kepada permasalahan gaji ini majoritinya berpunca kerana perbelanjaan tidak mengikut kemampuan kantung kewangan kelab itu sendiri.

Tidak mahu ketinggalan untuk cuba memenuhkan kuota pemain import walaupun sedar tidak mempunyai kekuatan kewangan dengan alasan untuk memperkuatkan pasukan supaya dapat bersaing dengan pasukan lain.

Realitinya, ada pemain import juga tiada guna jika kualiti pemain luar yang dibawa setaraf dengan kualiti pemain tempatan sahaja.

Malah ia juga tidak menjamin setiap perlawanan akan menang walaupun menurunkan ramai pemain import.

Ya, semua faham yang pihak pengurusan mempunyai perancangan mereka tersendiri, tetapi mereka tidak sedarkah bahawa perancangan mereka gagal dan tidak mendatangkan manfaat langsung kepada pasukan? Malah pelbagai masalah yang timbul membuatkan suasana pasukan tidak harmoni dan ini akan memberi kesan apabila pemain beraksi di atas padang.

Siapa kata sesebuah pasukan hanya dapat beri saingan sengit jika mempunyai pemain import? PJ City FC adalah ‘living proof’ yang pernah mengejutkan banyak pasukan gergasi tanpa kelibat seorang pun pemain import.

Walaupun PJ City sudah lagi tidak bersaing di Liga Super dek pihak pengurusan ambil keputusan untuk tarik diri, namun ‘blueprint’ yang ditinggalkan oleh kelab itu bukan lagi rahsia dan ia ternyata sudah terbukti cukup berkesan.

Bagi yang tidak mengetahui mengenai kelab yang berpengakalan di Petaling Jaya itu, mereka adalah satu-satunya kelab di Liga Super yang menggunakan 100% pemain tempatan dengan slogan Yakinilokal.

Sentuhan P. Maniam dalam menggabungkan pemain senior dan muda tempatan telah menjadikan pasukan itu digeruni oleh pasukan-pasukan gergasi termasuk juara bertahan JDT yang pernah ditumbangkan PJ City.

Tidak sahaja memberi lebih ruang dan peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi, PJ City juga antara pasukan yang kerap memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi di pentas tertinggi.

Pemain skuad The Phoenix ini telah membuktikan ketiadaan pemain import tidak bermakna mereka akan menjadi pasukan belasahan, sebaliknya mereka konsisten untuk berada di pertengahan liga setiap musim.

Percaya atau tidak, walaupun bukan pasukan gergasi jika hendak dibandingkan dengan pasukan seperti Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC atau pun Sri Pahang FC, namun PJ City telah melahirkan ramai pemain kebangsaan.

Antara pemain yang merupakan produk PJ City termasuk Darren Lok, Kalamullah Al-Hafiz, V. Ruventhiran dan Kogileswaran Raj.

Dengan bukti di depan mata, rasanya kelab seperti Kelantan FC yang kini berdepan masalah kewangan mungkin boleh mengikut jejak langkah PJ City untuk menggunakan 100% pemain tempatan untuk saingan liga supaya isu sama tidak lagi berulang.

Mungkin Kelantan United FC juga boleh menggunakan pendekatan sama kerana walaupun mereka tidak berdepan sebarang masalah kewangan, prestasi pasukan hambar apabila menduduki tangga tercorot liga.

Oleh itu, perubahan drastik untuk menggunakan ‘blueprint’ PJ City mungkin boleh dipertimbangkan yang mana pihak bukan sahaja dapat mengurangkan kos perbelanjaan setiap musim dek bayaran mahal pemain import, tetapi mereka juga dapat melahirkan lebih ramai lagi pemain tempatan berkualiti.

Sebuah lagi yang mungkin boleh ikut jejak langkah sama adalah Perak FC kerana mereka kini dalam proses untuk membina semula pasukan selepas hampir terkubur pada musim lalu gara-gara masalah kewangan yang dihadapi.

Perak yang pada mulanya mahu bermula dari bawah telah melantik Datuk Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih The Bos Gaurus dan sejak dari hari pertama lagi Teong Kim menekankan bahawa fokus beliau adalah kepada pemain muda.

Biarpun tidak mendapat keputusan positif dalam setiap perlawanan, namun ramai yang memuji prestasi pemain-pemain muda yang memperlihatkan peningkatan yang cukup baik, tapi perbezaan kualiti menjadi punca mereka sukar memperoleh kemenangan.

Jika dilihat skuad yang sedang dibentuk Teong Kim, prestasi sebenar skuad itu hanya akan dapat dilihat pada musim kedua dan ketiga, namun belum pun saingan liga memasuki pusingan kedua, mereka telah memecat Teong Kim.

Ia adalah satu kerugian kerana mereka kini berada di landasan tepat untuk membina semula pasukan, tambahan musim ini tiada penyingkiran.

Keputusan sudah pun dibuat dan kelab itu kini dalam perancangan untuk membuat sedikit perubahan untuk memperkuatkan pasukan lagi dan dengan bajet yang tidak besar mungkin mereka boleh ikut ‘blueprint’ PJ City.

Jika ketiga-tiga pasukan ini ikut jejak langkah PJ City tidak mustahil satu hari nanti mereka akan melahirkan ramai pemain kebangsaan.