Tiga pusingan liga, relevan atau tidak untuk Liga-M?

370

Berikutan tinjauan FIFA yang mengesyorkan Liga Malaysia perlu dijalankan secara tiga pusingan, muncul pelbagai pendapat ada yang bersetuju dan malah ada yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Namun, ramai di kalangan peminat bolasepak tempatan mencadangkan seharusnya MFL menambah bilangan pasukan yang bersaing di Liga Super menjadi 20 pasukan. Ini berikutan untuk membuka peluang untuk lebih ramai pemain beraksi di liga tertinggi dan berpotensi mencungkil bakat yang boleh diketengahkan dalam skuad kebangsaan sekaligus menjadikan liga kita lebih kompetitif.


Sistem penjadualan juga harus berubah, misalnya pertandingan piala hendaklah berlaku semasa liga berlangsung. Jadi pasukan-pasukan di Malaysia akan ada faktor untuk mereka  ‘rolling’ pemain dan memberi peluang kepada pemain simpanan pasukan untuk turut mendapatkan minit permainan. 

Ia berikutan Liga-M yang sebelum ini yang hanya mempunyai 22 perlawanan semusim dan dianggap kurang kompetitif bagi mempersiapkan pemain yang bakal beraksi bersama skuad kebangsaan. Dengan menambah pasukan liga ini bererti setiap pasukan akan mendapat peluang bermain sebanyak 38 perlawanan secara keseluruhan.

Liga Super Malaysia yang dicadangkan untuk ditambah menjadi 20 pasukan

Merujuk pada beberapa liga terbaik di dunia, setiap pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris EPL, La Liga (Sepanyol) dan Serie A (Itali) dengan jumlah 38 perlawanan semusim manakala bagi kancah Bundesliga (Jerman) setiap pasukan berpeluang beraksi sebanyak 36 perlawanan semusim.

Menurut pendapat Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia AFC pula, Datuk Windsor John kurang bersetuju dengan cadangan FIFA tersebut dan merasakan ia tidak sesuai untuk diaplikasikan di liga tempatan yang kita sendiri faham ‘coraknya’. Beliau juga turut menggesa agar cadangan tersebut perlu mengambil kira dari sudut kualiti perlawanan.

Namun, ini semua bergantung kepada FAM dan MFL sendiri. Adakah kita sudah bersedia ke arah tersebut? Dengan sistem dan pengurusan yang masih dikatakan tidak profesional. Malah dengan bilangan perlawanan yang sedia ada, masih ada pemain yang mengadu ‘kepenatan’. Persoalannya sampai bila? Tidakkah kita ingin mencontohi sistem bolasepak Eropah yang sangat jauh meninggalkan kita dengan mewujudkan ekosistem liga yang betul?