Kenapa FAM menyatakan perlu ‘berlembut’?

150

FAM seharusnya bersikap tegas dengan pasukan liga mengenai pemain yang bakal dipanggil untuk persiapan menghadapi Kejohanan Piala AFF B-23. Tiada alasan untuk pasukan tidak melepaskan pemain yang bakal dipilih kerana keutamaan harus diberi kepada skuad kebangsaan.

Berikutan kenyataan dari FAM semalam mengenai skuad bawah 23 tahun yang akan menggantikan skuad senior dalam perlawanan persahabatan kalendar FIFA pada bulan ini dan mengatakan mereka akan ‘berlembut’ dengan pasukan yang enggan membenarkan pemain  mereka bermain untuk skuad kebangsaan.


Mengapa FAM seolah-olah  dengan terang-terangan berkata akan berlembut? Tidak sedarkah mereka bahawa caps pemain ke skuad kebangsaan penting untuk pembangunan pemain? Sekalipun hanya untuk perlawanan persahabatan ia penting kerana membawa nama negara.

Pasukan liga juga seharusnya memberi peluang kepada pemain mereka untuk diberi pendedahan beraksi di peringkat antarabangsa. Dengan kebanyakan pasukan liga yang mempunyai pemain gantian di ‘feeder club’, apa salahnya jika pemain mereka ‘dipinjam’ sebentar? Mengapa kelab gergasi Inggeris boleh memberi kerjasama mengenai isu ini?

Peranan MFL dan FAM dalam isu ini juga harus diambil kira dari segi penjadualan liga yang selaras dengan kalender FIFA dan bukannya main semborono sahaja. Sepatutnya tidak timbul lagi isu jadual liga ‘clashing’ dengan perlawanan yang melibatkan skuad kebangsaan dan sekaligus wujud isu pemain tidak dilepaskan pasukan.

Sebagai contoh, Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) pernah dikhabarkan menuntut FIFA mengambil tindakan terhadap enam kelab EPL iaitu Liverpool, Chelsea, Leeds United, Everton, Manchester City dan Manchester United kerana mereka enggan melepaskan pemain-pemain mereka menyertai skuad kebangsaan Brazil beraksi bersama skuad kebangsaan. FAM sepatutnya mempunyai kelebihan yang sama.

Dan persoalan yang lebih besar, mengapa FAM sebagai badan induk bolasepak negara perlu tunduk dengan pemilik pasukan? Sesebuah pasukan atau kelab sepatutnya perlu memberi kerjasama dan laluan kepada perlawanan yang membabitkan pasukan negara atau hanya akan dikatakan sebagai ‘mementingkan diri’ dan hanya mengutakan tujuan peribadi?