Kelantan hutang saya dua bulan gaji dan wang komisyen, apabila mahu keluar saya yang perlu bayar – Pol Corpas

375

Bekas juruanalisis video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas mendedahkan bahawa kelab itu masih berhutang dengannya sebanyak dua bulan gaji dan wang komisyen hasil usahanya membawa masuk penaja.

Katanya, sebelum meninggalkan kelab itu, beliau ada meminta wang komisyen tersebut dan baki gaji sebulan sahaja tetapi lain pula jadinya apabila dirinya yang disuruh membayar wang pampasan.


“Saya ada bawa masuk satu penaja sebelum ini dan sepatutnya saya dibayar wang komisyen tetapi sampai sekarang saya tidak dapat.

Sebelum saya keluar daripada kelab, saya berkata kepada pengurusan bahawa saya hanya mahukan wang komisyen dan sebulan gaji sahaja, lagi sebulan saya tak kisah tetapi mereka beritahu bahawa saya perlu bayar wang untuk tinggalkan kelab,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau kemudiannya terkejut apabila diminta untuk berbuat demikian dan berkata tiada klausa dalam kontraknya yang mengatakan sedemikian.

Bukan itu sahaja, beliau yang juga bekerja sebagai pembantu jurulatih juga berkata bahawa pemilik kelab, Zamsaham gemar berjanji tetapi tidak menunaikan janji yang dilafazkan.

“Apa yang beliau lakukan ini adalah satu penganiayaan, beliau janji banyak benda tetapi tak pernah bagi dengan segala bonus dan sebagainya.

Beliau pernah berjanji untuk berikan sebidang tanah kepada saya di Kelantan tetapi sampai sekarang saya tak dapat, tetapi saya tak kisah sangat dengan perkara itu atau bonus sebagainya, saya hanya mahukan gaji keranan ia adalah usaha saya.”

Beliau kesal dengan apa yang berlaku dengan Kelantan kerana beliau sayangkan pasukan itu, dan berkata mahu kembali pada masa hadapan sekiranya berada di tangan pengurusan baharu.

Buat masa ini, beliau akan berkelana dengan sebuah kelab di Singapura, tetapi masih tidak mendedahkan secara tepat kelab yang akan disertainya itu.