Tak cepat melatah, terima kritikan secara terbuka

294

Selamat ulang tahun kelima buat Bapa Bola Sepak Moden Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)!

Menjadi individu dari kalangan orang kebanyakan yang pertama menduduki kerusi panas badan induk bola sepak negara itu sedikit sebanyak memberi ruang dan peluang kepada pengamal media untuk lebih dekat dengan beliau tanpa protokal yang terlalu ketat seperti presiden-presiden terdahulu.


Semua sedia maklum bahawa Hamidin seorang yang sangat cintakan sukan bola sepak sehingga beliau sanggup membuat keputusan drastik untuk meninggalkan kerjayanya dalam dunia perbankan demi bola sepak.

Bermula dari bawah sebelum beliau akhirnya dilantik sebagai Presiden FAM pada 14 Julai 2018, namun memegang tampuk kepimpinan tertinggi bola sepak negara tidak sedikit mengubah dirinya sebaliknya Hamidin masih lagi kekal sebagai seorang yang mudah didekati terutamanya pengamal media.

Tidak dinafikan beliau berdepan situasi yang cukup sukar sejak memegang jawatan tersebut apabila ketika itu pasukan bola sepak kebangsaan berada dalam keadaan yang agak parah apabila berada di kedudukan ranking ke-171.

Namun beliau tetap tenang dalam berdepan kritikan-kritikan daripada penyokong dan termasuk dari pihak media, tapi beliau kekal tenang dalam menangani apa sahaja isu yang melanda.

Media Harimau Malaya antara yang kerap melontarkan kritikan terhadap Hamidin atas prestasi ‘yo yo’ skuad negara apabila gagal dalam kejohanan yang disertai, termasuk mendesak perubahan drastik dilakukan segera untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak tanah air.

Mengambil segala kritikan dan pandangan orang ramai dari sudut positif, beliau telah berjaya mengubah landskap bola sepak dalam tempoh lima dan antara perkara paling membanggakan apabila Malaysia berjaya layak ke kejohanan paling berprestij di Asia iaitu Piala Asia 2023 secara merit selepas 42 tahun.

Setelah sekian lama kami di Harimau Malaya menanti peluang untuk menemubual Hamidin, akhirnya peluang itu hadir juga apabila beliau bersetuju untuk meluangkan masa kira-kira hampir sejam untuk sesi temubual eksklusif.

Sesi temubual berlangsung dengan cukup lancar dan apa yang menariknya apabila beliau tiada masalah untuk menjawab apa sahaja soalan yang dilontarkan kepadanya termasuk soalan kontroversi.

Suka atau tidak, di bawah kepimpinan Hamidin bola sepak negara telah memperlihatkan peningkatan yang cukup ketara apabila kedudukan ranking dunia naik kepada ke-137 dunia dan tiada lagi desakan daripada peminat untuk beliau berundur selepas membuktikan kemampuannya.

Kejayaan menerajui FAM juga telah menyaksikan beliau mendapat pengiktirafan apabila dilantik menjadi Ahli Majlis FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

Ia bukan mudah untuk dilantik menjadi Ahli Majlis FIFA kerana seseorang itu perlu membuktikan keupayaan pengurusan dan kualiti kepimpinan.

Tidak hanya menjadi perhatian dalam dunia bola sepak, Hamidin juga menjadi perhatian Menteri Belia dan Sukan (KBS) YB Hannah Yeoh yang telah melantik beliau sebagai Chef de Mission (CDM) negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bersempena dengan tahun kelima kepimpinan beliau, kami di Harimau Malaya berharap Hamidin akan terus bersemangat untuk bawa bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi dan tidak mustahil mampu bawa skuad negara jadi salah sebuah pasukan gergasi di Asia satu hari nanti.