Sudah tiba masanya MPFL dinaik taraf jadi liga yang lebih berkualiti

340

Bagi peminat futsal tanah air, pastinya ramai yang teruja apabila saingan Malaysia Premier Futsal League (MFPL) musim 2023 kini di penghujung musim apabila memasuki peringkat separuh akhir.

Empat pasukan terbaik iaitu Selangor MAC, Selangor TOT, JDT dan Pahang Rangers bakal berentap untuk menempah slot ke perlawanan akhir untuk merangkul trofi kejuaraan untuk musim 2023.


Mungkin sambutan terhadap futsal tidak sebesar saingan bola sepak Liga Super, tetapi setiap musim saingan MFPL semakin mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada peminat.

Baru-baru ini ketika perlawanan suku akhir yang berlangsung di Stadium Panasonic, Shah Alam, ribuan peminat hadir bagi memberi sokongan pada pasukan kegemaran mereka dan sepanjang perlawanan boleh mendengar sorakan peminat dari awal sehingga tamat perlawanan.

Ia memberi petanda bahawa liga futsal negara kini berada di landasan tepat untuk terus berkembang menjadi lebih besar lagi.

Disebalik kehangatan MPFL anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim ini, ada juga segelintir pihak yang mempertikaikan mengapa saingan liga futsal menggunakan format dua kumpulan berbanding format liga biasa.

Namun FAM tidak dapat melakukannya kerana ada beberapa pasukan yang tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk mengharungi saingan liga menggunakan format liga biasa.

Oleh itu, 14 pasukan yang bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B dengan empat pasukan teratas dari kedua-dua kumpulan mara ke peringkat kalah mati.

Dengan saingan MPFL kini sudah membenarkan ketua jurulatih dan pemain import, rasanya sudah tiba masa untuk FAM menaik taraf saingan liga futsal negara menjadi liga yang lebih kompetitif setanding dengan liga futsal di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Tidak hanya FAM, pasukan-pasukan yang bertanding juga perlu merangka strategi lebih mantap untuk menaik taraf pasukan sendiri dengan berusaha mencari penaja yang lebih baik untuk membentuk sebuah skuad yang mantap.

Ya tidak dapat dinafikan masih ada pasukan yang bertanding datang dari persatuan bola sepak negeri, tapi ia bukan alasan untuk tidak bertindak proaktif menjadi bajet tambahan selain dana dari kerajaan negeri.

Pemikiran ‘asal boleh’ atau sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ harus dibuang kerana jika hantar pasukan bersaing untuk lengkapkan jadual sahaja, lebih baik tak perlu hantar kerana ia bukan sahaja membuatkan pemain berasa tekanan apabila sering dibelasah pasukan lebih kuat, tetapi ia juga akan membuatkan saingan liga tidak cukup kompetitif.

Oleh itu, FAM dan semua pasukan yang bertanding perlu duduk berbincang untuk mencari jalan bagaimana mahu menaikkan nilai komersial MPFL supaya ia menjadi salah satu liga terbaik di Asia Tenggara.