Mampukah Kelantan FC beli pemain baru sedangkan masih bergelut membayar tuntutan gaji pemain?

119

Dengan kemelut gaji yang masih menghantui para pemain dan pihak pengurusan di kem Kelantan FC sehingga ke hari ini, kini timbul pula spekulasi berkenaan kelab tersebut yang mahu membeli pemain import baru.

Persoalan yang masih menjadi tanda tanya kepada kelab berkenaan adalah adakah kelab itu mampu untuk membuat pembelian pemain sedangkan masih bergelut untuk menyelesaikan tunggakan gaji.


Pemain yang dikatakan bakal dilamar kelab itu merupakan pemain kacukan German-Thailand yang pernah menyarung jersi skuad Kedah Darul Aman (KDA) pada musim lepas sebelum digugurkan ekoran kecederaan iaitu Dennis Buschening.

Tambahan pula, rekod kurang cemerlang pemain berkenaan yang bermain bersama kelab MH Nahkonsi City FC dalam divisyen Thai League 3 sebelum ini juga perlu diambil kira.

Dalam pada itu, kemampuan pemain tersebut dalam memberikan impak untuk membantu pasukan The Red Warrior itu untuk memberikan saingan dalam Liga Super antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

Dengan masalah tunggakan gaji secara konsisten dan berterusan maka persoalan berkenaan kemampuan untuk menanggung kos pemain import tersebut terus mencetuskan tanda tanya buat para peminat boleh sepak tanah air.

Terdahulu, pemilik kelab Norizam Tukiman atau Zamsaham menyuarakan hasratnya untuk menambah muka baru bagi memperkuatkan jentera serangan, tapi beliau perlu ambil kira kemampuan terlebih dahulu dan ‘ukur baju di badan sendiri’ termasuk menyelesaikan segala tunggakan gaji.

Beliau juga perlu memikirkan impak jangka masa akan datang sekiranya masalah asas di dalam pasukan bola sepak ini masih tidak dijadikan keutamaan.