Kalau tak mahu mutu pengadilan terus dipertikai, usaha untuk tingkatkan kualiti pengadil perlu segera dilakukan

106

Saingan Liga Super Malaysia semakin rancak dan terus mendapat sambutan sejak beberapa tahun lalu kebelakangan ini apabila promosi meluas telah menyaksikan peminat-peminat yang sebelum ini hanya meminati bola sepak Eropah kini mula menyokong bola sepak tanah air.

Ia merupakan satu perkembangan yang cukup positif buat bola sepak tanah air yang sebelum ini terjejas teruk ketika negara dilanda pandemik COVID-19.


Dengan pasukan-pasukan di Liga Super kini sudah diswastakan, ia memberi petanda liga tanah air berada di landasan tepat.

Ke arah penswastaan adalah sesuatu yang cukup positif, tetapi ia juga tidak boleh lari dari masalah juga apabila beberapa kelab bergelut dengan masalah kewangan sehingga menyebabkan ada kelab yang terpaksa digugurkan.

Masalah kewangan atau lebih tepat lagi isu tunggakan gaji ini masih lagi berlaku sehingga ke hari ini dan tampak akan terus membelenggu liga selagi setiap kelab tidak ‘ukur di baju sendiri’ apabila berbelanja.

Namun bukan masalah gaji yang hendak penulis perkatakan dalam penulisan kali ini, tetapi isu yang sering menjadi buah mulut peminat termasuk ketua jurulatih dan pemain masih lagi menjadi isu utama dalam saingan liga iaitu mutu pengadilan.

Liga Super kini boleh dikatakan antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara dan ia dibuktikan menerusi penyertaan tiga kelab dari Malaysia yang menyertai saingan di pentas Asia iaitu satu pasukan di AFC Champions League (ACL) dan dua pasukan di Piala AFC.

Bagaimanapun disebalik peningkatan drastik kualiti bola sepak di liga, namun ia direncatkan dengan mutu pengadil yang cukup memberi impak besar.

Bukan hendak mengkritik atau menghentam secara membuta tuli, tetapi ia satu isu yang tidak boleh ditutup sebelah mata lagi kerana isu kualiti pengadilan semakin menjadi-jadi terutamanya apabila membabitkan perlawanan antara pasukan tumpuan.

Dengan era media sosial ini, peminat kini mempunyai akses untuk menilai sendiri mutu pengadilan menerusi video-video ulangan terutamanya apabila membabitkan situasi kontroversi.

Lebih parah lagi apabila keputusan salah yang dilakukan oleh pengadil menyebabkan sesebuah pasukan tewas.

Apabila situasi ini berlaku, ketua jurulatih dan pemain sukar untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka secara terbuka kerana bimbang dikenakan tindakan tatatertib kerana segala bantahan atau ketidakpuasan hati terhadap mutu pengadilan perlu membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tetapi sampai bila pasukan perlu buat aduan demi aduan sekiranya kualiti pengadil masih lagi berada di tahap yang sama?

Isu mutu pengadilan sudah lama dibangkitkan yang mana ramai yang mendesak agar kualiti pengadil dipertingkatkan dengan kadar segera tapi sehingga kini seperti tiada perubahan langsung.

Pujian harus diberikan kepada FAM dan MFL (Malaysian Football League) apabila kini dalam proses untuk memperkenalkan teknologi VAR (video assistant referee) yang dilihat akan dapat mengelak dan mengurangkan keputusan salah oleh pengadil.

Bagaimanapun sebelum VAR diperkenalkan, pihak bertanggungjawab perlu segera mencari jalan untuk meningkatkan kualiti pengadilan dengan kadar segera sekiranya tidak mahu terus dikritik.

Jika sesebuah perlawanan diadili oleh pengadil berkualiti ia tidak akan mencetuskan kontroversi dan pasukan yang patut menang, menang dan pasukan yang patut kalah, kalah.