Saya tidak berdendam dengan Kelantan FC, cuma mahu bersihkan nama daripada fitnah Zamsaham – Rozaimi Rahamat

1,059

Bekas pemain Kelantan FC, Rozaimi Rahamat menegaskan bahawa beliau tiada dendam langsung dengan bekas kelabnya itu selepas konflik yang berlaku antara beliau dan pemilik kelab, Zamsaham.

Katanya, beliau hanya mengambil tindakan undang-undang terhadap Zamsaham bagi membersihkan reputasinya yang tercalar, tetapi masih lagi mempunyai hubungan baik dengan bekas rakan sepasukannya di The Red Warriors.


“Saya tak nak orang kata yang saya tak puas hati dengan Kelantan, saya dengan kelab baik sahaja, apabila mereka bermain pun saya akan ucapkan ‘good luck’ kepada rakan-rakan yang masih di sana.

Jika Kelantan bertukar pemilik satu hari nanti memang jujur saya katakan saya nak kembali, saya suka suasana di Kelantan kerana penyokongnya sentiasa beri dorongan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media bagi menyatakan status tindakan mahkamah yang diambil terhadap pernyataan fitnah oleh Zamsaham dalam satu sesi bertemu peminat.

Tegas Rozaimi, sebagai seorang manusia, beliau mempunyai maruah dan tindakan yang diambil itu adalah selepas permintaannya kepada pihak Zamsaham secara peribadi supaya meminta maaf terhadap fitnah yang dibuat tidak dilayan.

“Sebagai manusia saya ada maruah dan saya mahu tegakkan benda yang betul, sebelum saya ambil tindakan undang-undang saya dah cuba hubungi pihaknya secara peribadi tetapi tiada respon.

Saya juga ada timbang rasa dalam diri, selagi mereka boleh mengaku apa yang mereka lakukan dan bersihkan apa yang berlaku, saya boleh pertimbangkan tetapi sekarang ini saya ikut nasihat peguam saya.”

Mengenai status gajinya di Kelantan, Rozaimi berkata bahawa segala tunggakan telah diselesaikan, cuma pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masih tertunggak.

Dalam pada itu, beliau mengakui ada menerima tawaran awal tidak rasmi daripada pasukan-pasukan Liga Super dan Liga M3 tetapi kesnya yang sedang berjalan menyebabkan sukar untuknya diterima mana-mana kelab.