Turun ke Liga M3 mungkin satu peluang buat Kelantan FC muhasabah diri

750

Berikutan satu persatu konflik dalaman yang sedang hangat dikaitkan dengan pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham, mungkin langkah turun ke Liga M3 perlu dilihat sebagai satu peluang buat kelab itu untuk memperbaiki segala kekurangan ataupun reset semula.

Selain kemelut pembayaran gaji pemain-pemain serta staf-staf pengurusan yang masih berlarutan, kelab yang baru dilepaskan daripada sekatan membeli pemain itu juga kini berkemungkinan bakal disaman oleh bekas pemainnya sendiri.


Tidak terhenti di situ, ketika aksi perlawanan penting Piala Malaysia pada malam ini menentang kelab gergasi iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dilaporkan kehilangan empat pemain import yang baru dibawa masuk gara-gara gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Pemain-pemain tersebut adalah Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening, Ahmed Magdy dan Alie Sesay, manakala hanya Allee Putra sahaja yang berjaya mendapatkan sijil ITC tersebut dengan bersyarat.

Hasrat kelab dari Pantai Timur itu untuk memberikan cabaran dan saingan pasti akan terbantut berikutan pemain baru yang mempunyai kualiti tidak dapat diturunkan dalam perlawanan pusingan pertama malam ini untuk memberikan aksi terbaik mereka.

Dalam pada itu, kemungkinan penyingkiran dua kelab di tangga tercorot liga yang telah diumumkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu disambut positif buat pasukan dari Pantai Timur itu.

Ini adalah kerana pasukan The Red Warriors jelas masih belum mencapai kualiti yang sebenar dari segi pengurusan kelab tersebut untuk terus bersaing dalam liga utama di Malaysia.

Langkah bijak perlu dilambil segera oleh pemilik kelab untuk membersihkan segala konflik melibatkan pasukan itu sebelum Kelantan menerima hukuman yang lebih berat pada masa akan datang, sekaligus membebankan kelab itu sendiri.